Dakwaan langgar tempoh kuarantin kendiri, polis akan ambil keterangan Guan Eng

0
306

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

POLIS Pulau Pinang akan memanggil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bagi memberi keterangan berhubung dakwaan melanggar tempoh kuarantin kendiri sebaik sahaja beliau selesai menjalani tempoh kuarantin itu pada 10 September ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung dakwaan tersebut.

Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya telah membuka kertas siasatan dan dijalankan di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP).

“Kita juga telah merekodkan keterangan kesemua individu yang membuat laporan polis semalam manakala keterangan daripada pihak Setiausaha Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) akan direkodkan hari ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Semalam dua sayap pemuda parti pembangkang di Pulau Pinang iaitu Gerakan dan MCA membuat laporan polis terhadap Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kerana didakwa melanggar tempoh kuarantin kendiri. 

Laporan itu supaya polis menjalankan siasatan selepas Guan Eng menghadiri sidang DUN pada 2 September lalu sedangkan beliau dilaporkan sepatutnya menjalani kuarantin kendiri bermula 1 hingga 10 September. 

Terdahulu, media melaporkan perbicaraan kes Guan Eng yang berdepan empat pertuduhan melibatkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang ditangguhkan kepada 22 September ini selepas beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19. 

Peguam Guan Eng, Gobind Singh Deo memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya itu diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.

Bagaimanapun Guan Eng dalam kenyataan menafikan dakwaan itu dan menjelaskan beliau hanya diberitahu pada 2 September setelah menghadiri sidang DUN yang mana beliau mungkin menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit positif Covid-19 pada 1 September. 

Sehubungan itu jelasnya, beliau telah tinggal di rumahnya di bawah kuarantin kendiri selepas menghadiri sidang DUN pada 2 September sebelum kemudiannya diuji negatif. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here