Polis mengaku tidak bersalah masukkan dadah dalam badan

0
246

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, Ahad lalu.

Tertuduh, Mohd. Rashid Sulaiman, 35, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Zulhainie Zull Kafli.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam tubuh badannya sendiri.

Perbuatan itu dilakukan pada 2.30 petang di sebuah Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, 5 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.

Dalam rayuannya, lelaki itu memohon supaya nilai jaminan dikurangkan kerana menjaga ibunya yang lumpuh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut menasihatkan lelaki itu untuk melantik peguam dan menetapkan 3 November depan sebagai semula kes. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here