Enam nelayan, dua bot ditahan ceroboh Taman Laut

0
273

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Perikanan negeri menahan enam nelayan dan dua buah bot zon B menerusi Ops Penguatkuasaan Pemantauan, Kawalan dan Pengawasan (MCS) di Kota Tinggi-Mersing) bermula 5 September hingga semalam.

Pengarah Perikanan Negeri Johor, Zainudin Abdul Wahab berkata, penguat kuasa jabatan berkenaan menerusi unit perlindungan sumber, menahan bot berkenaan di 5.9 batu nautika dari Tanjung Penawar Kota Tinggi dan 1.64 batu nautika dari Pulau Aur Mersing.

Zainudin Abdul Wahab

“Operasi dianggotai tujuh penguat kuasa menemukan bot pukat berkenaan jenis vesel pukat tunda zon B dan vesel pukat jerut ikan zon B sedang melakukan aktiviti menangkap ikan yang menyalahi Akta Perikanan 1985.

“Ini termasuk melanggar syarat lesen dengan aktiviti penangkapan ikan di kawasan Taman Laut, menyalahi syarat perairan negeri dan bukan usaha sendiri yang bermaksud menyalah guna lesen individu lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, siasatan mendapati nakhoda mengendalikan bot itu bukan pemilik lesen.

Ketika ditahan katanya, mereka didapati baru memulakan kegiatan penangkapan ikan di kedua-dua lokasi berkenaan.

“Seramai enam nelayan tempatan berusia antara 30-an hingga 50-an ditahan dengan nilai anggaran sitaan bernilai RM700,000.

“Mereka diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Jabatan Perikanan, Pangkalan Perlindungan Sumber Tanjung Sedili untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sebuah bot ditahan kerana melanggar syarat lesen dengan aktiviti penangkapan ikan di kawasan Taman Laut, menyalahi syarat perairan negeri dan bukan usaha sendiri yang bermaksud menyalah guna lesen individu lain

Pihaknya mengingatkan nelayan agar sentiasa mematuhi syarat lesen termasuk tidak menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan Taman Laut termasuk di Mersing yang telah diwartakan di bawah Perintah Penubuhan Taman Laut Malaysia mulai 1994.

“Kami tidak berkompromi dengan perbuatan menceroboh kawasan Taman Laut mahupun kesalahan lain.

“Sebarang aduan pencerobohan pulau Taman Laut Mersing boleh disalurkan kepada Pejabat Taman Laut Mersing di talian 07-7991161 bagi tindakan,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here