Ahli perniagaan didakwa bunuh pengawal keselamatan

0
375

SEORANG ahli perniagaan yang yang menyerang pengawal keselamatan di sebuah kondominium di Ipoh, Perak, tahun lalu didakwa hari ini atas pertuduhan membunuh selepas mangsa meninggal dunia 27 Ogos lalu.

Mahkamah Majistret Ipoh meminda pertuduhan susulan polis mengklasifikasikan semula kes terbabit dan Jabatan Peguam Negara bersetuju meminda pertuduhan daripada Seksyen 335 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tiada pengakuan direkodkan tertuduh, Ahmad Noor Azhar Muhammad, 33, selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Noor Azhar didakwa membunuh S Thava Sagayam di Tingkat 7, Menara Majestic, Jalan CM Yusuff antara jam 8 pagi hingga 9.30 pagi pada 29 Disember 2020.

Oleh yang demikian tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Bagi Seksyen 335 Kanun Keseksaan mahkamah melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya (DNAA).

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Timbalan Pendakwa Raya negeri, Azalina Rashdi manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ariff Azami Hussein.

Turut hadir, isteri kepada mendiang Thava Sagayam iaitu E Philomena, 59, bersama empat peguam pemerhati M Kulasegaran, A Sivanesan, N Selvam dan Omar Kutty.

Mahkamah menetapkan 18 Oktober hadapan sebagai tarikh sebutan sebulan kes.

Sementara itu, Kulasegaran berkata, mereka berpuas hati bahawa tertuduh didakwa atas tuduhan membunuh.

“Biarkan proses hukum yang berlaku dan kami akan membantu isteri dengan cara yang sebaik mungkin. Ia adalah kematian yang tidak diingini dan menarik banyak perhatian di negara ini.

“Seorang lelaki yang tidak bersalah kehilangan nyawa tanpa alasan yang baik dan memerlukan keadilan,” katanya ketika ditemui media selepas sesi prosiding di luar mahkamah.

Terdahulu, media melaporkan pengesahan daripada polis mengenai video berdurasi dua minit 16 saat mengenai kejadian terbabit yang tular dengan suspek sudah didakwa di mahkamah pada 6 Januari lalu.

Pendakwaan sebelum ini dibuat di Mahkamah Majistret Ipoh mengikut Seksyen 335 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan parah atas bangkitan marah.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di rumahnya, dengan hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, mengesahkan kematian mangsa akibat jangkitan kuman pada paru-paru (sepsis). – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here