Azalina kemuka usul RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021

Bertujuan mencegah wakil rakyat mengkhianati amanah pengundi dan mengadakan pilihanraya semula.

0
353

PADA Ogos lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah mengemukakan cadangan langkah-langkah menghalang wakil rakyat melompat parti atau undang-undang anti lompat parti.

Namun, cadangan itu yang tersenarai dalam tujuh tawaran kepada blok pembangkang untuk menyelesaikan kemelut politik tidak bersahut, sehinggalah Muhyiddin meletak jawatan pada 16 Ogos dan membubarkan kerajaan.

Hari ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said tampil meneruskan kesinambungan usaha Presiden Perikatan Nasional (PN) itu apabila mengesahkan akan mengemukakan satu usul kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bertajuk Rang Undang- Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021.

Baginya, Akta Pemecatan Ahli Parlimen adalah langkah terbaik untuk mencegah wakil rakyat daripada melompat parti dengan pengundi boleh menarik balik mandat yang mereka berikan kepada wakil rakyat yang membelakangi mereka melalui pilihan raya baharu.

“Saya berhasrat untuk menghantar suatu notis usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 49(1) untuk Rang Undang-undang (RUU) Ahli yang Bukan Ahli Kerajaan.

“Oleh itu, hak untuk memilih wakil rakyat yang baharu atau mengekalkan wakil rakyat tersebut dikembalikan kepada pengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berharap, langkah itu juga dapat menghalang budaya wakil rakyat membelakangi bukan sahaja parti politik yang memberikan watikah pencalonan kepada mereka, tetapi juga masyarakat akar-umbi yang bersusah payah meraih undi dari pintu ke pintu untuk memenangkan mereka daripada melompat parti.

“Demi kemajuan negara, pemimpin politik generasi saya dan generasi lebih muda, mesti berani bermuafakat dan berpakat untuk menjadikan politik suatu pilihan kerjaya yang profesional, yang dihormati dan disegani, bukan dikeji dan dicaci.

“Tanggapan rakyat terhadap ahli-ahli politik hari ini sangat memalukan dan secara peribadi, saya terkilan dengan keadaan ini,” katanya yang sebelum ni pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat sebelum meletak jawatan.

Azalina juga menyambut baik perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama wakil pembangkang dan bebas untuk memperkenalkan undang-undang mencegah lompat parti.

Pada masa sama, beliau juga mencadangkan penubuhan “Kaukus Reformasi Parlimen dan Demokrasi Pelbagai Parti” di antara Ahli-ahli Parlimen yang berminat.

“Ini adalah untuk memperkasakan institusi Parlimen Malaysia dan memartabatkan demokrasi berparlimen di negara kita,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here