Jangan putus asa Ziyad: Azizulhasni

0
246

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi kesedihan dan memahami rasa kecewa Muhammad Ziyad Zolkefli selepas kemenangan pingat emas di Paralimpik Tokyo diragut gara-gara bantahan negara Ukraine.

Azizulhasni yang pernah mengalami nasib yang sama dengan atlet para negara itu turut memberikan kata-kata semangat supaya Ziyad tidak berputus asa.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Ziyad Zolkefli atas pencapaiannya memecahkan rekod dunia, Azizulhasni berkongsi pengalamannya ketika berdepan dengan keadaan sama apabila pingat emasnya ditarik semula di Sukan Komanwel New Delhi pada 2010.

“Ini realiti dunia sukan. Pelbagai perkara yang diluar jangkaan boleh berlaku. Kadang-kadang ianya adalah kerana kesilapan kita, dan kadang-kadang pula boleh jadi kesilapan dari pihak lawan.

“Jangan terkejut jika pihak pengadilan juga melakukan kesilapan kerana ianya memang sentiasa berlaku di dalam dunia sukan ini. Mereka adalah manusia dan kita juga adalah manusia. Manusia memang tidak lari daripada membuat kesilapan,” katanya menerusi catatan di Facebook, hari ini.

Pemenang pingat perak acara kieren temasya Olimpik 2020 ini turut berpesan kepada Ziyad bahawa kejadian itu memang pahit untuk ditelan, namun jangan berputus asa dan terus maju ke hadapan.

“Jangan berputus asa dan ‘keep moving forward’. Sudah tentu saya pun berharap agar bantahan dari pihak Malaysia akan diterima dan Ziyad dapat pingat Emas yang memang kepunyaan Ziyad itu, “ katanya.

Walau bagaimanapun, Azizulhasni turut berkata semua yang berlaku adalah ketentuan Allah dan mungkin ada hikmah besar disebaliknya.

“Kami rakyat Malaysia semua tahu yang Ziyad adalah juara yang sebenar dan pingat emas itu telah di rampas secara terang-terangan,” katanya.

Pagi tadi, bantahan kontinjen Malaysia bersama dua negara lain iaitu Australia dan Ecuador ditolak penganjur dan mengekalkan keputusan menarik balik pingat emas yang diraih Ziyad.

Peserta Ukraine membuat bantahan dengan alasan Ziyad dan dua peserta lain lambat masuk ke bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan. Atlet Ukraine yang sebelum ini meraih pingat perak diumumkan sebagai pemenang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here