Pimpinan UMNO perlu berjiwa besar – Penganalisis politik

0
326

PARA pemimpin UMNO perlu mengetepikan kelangsungan politik serta jawatan masing-masing dalam tempoh penangguhan Penangguhan Pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023.

Tindakan berjiwa besar itu penting kerana ketika ini bukan masa yang sesuai untuk bertikam lidah dalam kalangan parti itu sendiri.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr. Rusdi Omar berkata, pucuk kepimpinan UMNO perlu duduk semeja dan berbincang secara konsensus dan perlu berjiwa besar serta matang dalam membuat keputusan bagi meletakkan tumpuan mereka untuk merapatkan saf dalam kepimpinan parti berkenaan.

Menurutnya, rentetan keputusan RoS membuat keputusan pusingan-U dan mengesahkan semula keputusan penangguhan pemilihan UMNO semalam, pimpinan parti berkenaan perlulah berjiwa besar dan mengetepikan semua perselisihan politik yang ada dan menjaga hubungan dengan parti-parti lain dalam kerajaan ketika ini.

Menurut beliau, ada bagusnya supaya tidak menjejaskan hubungan antara UMNO, Bersatu, dan PAS dalam Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Kalau sebaliknya, tidak mustahil konflik akan ada dalam PN bawah pimpinan Ismail Sabri,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Mengulas tentang undi percaya yang akan dilaksanakan dalam sidang Parlimen 13 September nanti, beliau menegaskan bahawa UMNO perlu menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong yang telah melantik Perdana Menteri baharu mengikut hemat baginda telah mendapat kepercayaan majoriti.

Sehubungan itu, katanya, semua parti perlu bersama-sama dengan kerajaan terkini bagi mengelakkan kestabilan politik tergugat sekali lagi.

“Kalau kita tengok dari segi pasaran, saham, nilai mata wang ada menunjukkan kesan positif selepas pertukaran PM.

“Jadi bila ada kesan positif, semua pihak perlu solid bersama-sama bantu kerajaan untuk teruskan momentum itu,” tambahnya.

Senada dengan Rusdi, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM, Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, adalah amat penting untuk mengekalkan kekuatan 114 majoriti kepada Ismail Sabri bagi membolehkan kerajaan semasa menjalankan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dibangunkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini dengan lancar.

“Jadi kita memerlukan gencatan politik antara pemegang portfolio pentadbiran kerajaan ketika ini dan juga ahli-ahli parlimen yang menyokong Ismail Sabri.

“UMNO sebagai parti besar yang mewakili majoriti Melayu Islam dalam negara harus ambil langkah untuk mengekalkan sokongan yang sedia ada kepada pentadbiran kerajaan sekarang.

“Kerana jelas, PM sendiri datang daripada UMNO, Menteri Kanan dalam kalangan menteri juga ramai daripada UMNO. Jadi sudah tentu ini adalah kelebihan untuk UMNO untuk merancang apa yang boleh dilakukan untuk menguatkan gabungan yang sedia ada khususnya bersama-sama Bersatu, PAS dan juga gabungan daripada parti-parti politik dari sabah dan Sarawak,” ujarnya ketika dihubungi SatuBerita.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Isnin mengesahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah membatalkan keputusan mereka yang menyatakan keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti adalah tidak sah.

Perkara itu adalah berdasarkan semakan kepada keterangan dan dokumen tambahan yang telah Ahmad Maslan dan peguam UMNO berikan pada 9 Ogos, 11 Ogos, 18 Ogos dan beberapa keterangan Ahli MKT pada 24 Ogos, mendapati bahawa keputusan penangguhan pemilihan UMNO untuk penggal 2021/2023 telah dibuat secara teratur. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here