Tony Pua perlu hormati Majlis Presiden PH

0
238

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TINDAKAN Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang secara terbuka membuat kenyataan berkenaan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri disifatkan sebagai tergesa-gesa.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Muhammad Taqiuddin Cheman berkata, tindakan itu juga membelakangi Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sebagai badan tertinggi dalam membuat keputusan parti.

“Pemuda Amanah ingin mengingatkan agar semua pihak mengikut disiplin sebagai ahli anggota dalam PH dan tidak menimbulkan perkara yang belum benar-benar menjadi keputusan PH. Ini sebagai langkah berhati-hati dalam mengambil tindakan.

“Walau apapun hujah dan asas yang diberikan untuk menjadikan tindakan tersebut sebagai hak menyampaikan pandangan, tetapi strategi dan proses membuat keputusan harus diikuti terlebih dahulu supaya tidak menimbulkan kekeliruan kepada akar umbi,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Amanah Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tony Pua semasa forum secara maya anjuran Oxford and Cambridge Society Malaysia pada Jumaat lalu, mendedahkan kerajaan dilapor sedang mengadakan rundingan bersama blok pembangkang dalam usaha mewujudkan CSA.

Beliau berkata, PH sedia menerima CSA oleh Ismail Sabri sekiranya tawaran itu sama seperti dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

“Bercakap sama ada akan menyokong atau tidak, kami mahu apa yang Muhyiddin tawarkan kepada rakyat Malaysia sebelum ini. Kami mahu ia turut ditawarkan kepada kami dan rakyat Malaysia ketika ini,” ujar Tony Pua.

Mengulas lanjut, Taqiuddin berkata, Pemuda Amanah menggesa supaya pertimbangan dan penelitian mendalam perlu dibuat serta melibatkan pimpinan di semua peringkat agar sebarang kenyataan tidak disalah tafsir serta menimbulkan keraguan dalam kalangan penyokong.

Justeru katanya, Pemuda Amanah menggesa semua pihak khususnya dalam kalangan pimpinan semua parti PH tidak mengulangi tindakan tersebut yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kecurigaan semua pihak. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here