Bersatu serah kebijaksanaan Ismail Sabri lantik TPM

0
265

Pelantikan Timbalan Perdana Menteri, jika dibuat dalam kalangan pemimpin hebat sekalipun tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya tidak boleh bekerjasama dengan kepimpinan kerajaan baharu ketika ini.

Justeru, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet baharu.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof, selaku ketua kerajaan, Ismail Sabri pastinya mahu membentuk Kabinet yang dirasakan boleh bekerjasama dengan beliau.

“Jika Perdana Menteri melantik orang yang hebat sekali pun tetapi tidak boleh bekerjasama tidak ada gunanya juga, sebab Kabinet nanti tidak boleh berfungsi seperti sepatutnya. 

“Jadi itu (lantikan TPM) terpulanglah kepada PM,” kata Ahli Parlimen Alor Gajah tersebut seperti yang dilaporkan portal Agenda Daily.

Mohd. Redzuan berkata demikian sebagai mengulas mengenai desas-desus pelantikan Timbalan Perdana Menteri dalam barisan Kabinet kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri yang akan diumumkan dalam masa terdekat.

Ketika ini, dua pemimpin daripada Bersatu disebut-sebut bakal menyandang jawatan nombor dua negara itu iaitu Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan seorang lagi Ahli MPT, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. 

Malah, kedua-dua pemimpin itu juga difahamkan sudah mendapat kebenaran daripada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here