Jiwa besar dan kemurahan hati Muhyiddin

Sanggup calonkan individu daripada parti yang menjatuhkannya

0
626

BAGAIMANA Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mencadangkan individu daripada parti yang menjadi punca beliau meletakan jawatan Perdana Menteri (PM) dan kerajaannya tumbang, menjadi persoalan yang bermain dalam fikiran pegawai kanannya, Datuk Dr Marzuki Mohamad.

Namun itulah hakikatnya apabila melihat sisi jauh pada diri lelaki ini yang tegas dengan prinsip menegakkan undang-undang dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

Berkongsi pengalaman menerusi hantaran di Facebooknya, Dr Marzuki yang juga Ketua Setiausaha Sulit kepada PM berkata, semua itu berlaku pada pagi Ahad, 15 Ogos 2021, sehari sebelum peletakkan jawatan sebagai PM.

“Pagi itu saya ke rumahnya (Muhyiddin) untuk mengemas beberapa dokumen.

“Beliau sedang minum pagi bersama Puan Sri dan mengajak saya turut serta.

“Selepas mengemas beberapa dokumen beliau memberitahu saya, beliau menerima banyak pesanan meminta supaya tidak meletak jawatan.

“Namun beliau terus berkata, “Saya telah hilang majoriti, bagaimana saya boleh kekal lagi?,” kata Dr Marzuki.

Menurut Dr Marzuki, dia bersetuju dengan pendapat Muhyiddin kerana berdasarkan ketetapan di dalam Perlembagaan Negara apabila seseorang itu hilang majoriti beliau perlu meletakkan jawatan. Memang itulah yang sepatutnya dilakukan.

Dr Marzuki berkata, Muhyiddin kemudian berpindah ke tajuk lain.

“Beliau bertanya kepada saya, siapa yang akan menggantikannya? Perikatan Nasional (PN) mesti mempunyai calon Perdana Menteri.

“Dalam nafas dan nada sama beliau memberitahu beliau tiada masalah sekiranya (Datuk Seri) Ismail Sabri (Yaakob) dipilih sebagai calon Perdana Menteri,” kata Dr Marzuki.

Dr Marzuki berkata, kenyataan itu benar-benar mengejutkannya.

“Bagaimana lelaki ini boleh mencadangkan individu dari parti yang baharu sahaja menjatuhkannya daripada kedudukan yang paling diinginkan itu?,” kata Dr Marzuki yang menjelaskan beliau dan Muhyiddin berhujah sedikit mengenai perkara itu, namun PM sudah membuat keputusan yang beliau percaya, itu adalah sesuatu yang betul.

Menurut Dr Marzuki, alasan Muhyiddin mudah dan realistik.

“Jika beliau tidak menyokong calon Perdana Menteri, tidak ada sesiapa yang akan mendapat majoriti… dan negara akan berada dalam kemelut politik selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan.

“Selepas itu apa yang ditanya kepada saya hanya sama ada tindakannya itu berperlembagaan dan saya memberitahunya ia mengikut Perlembagaan,” kata Dr Marzuki lagi sambil menjelaskan Muhyiddin kemudian mengarahkannya menghubungi Ismail Sabri untuk pertemuan pada jam 11 pagi.

Muhyiddin mengadakan perjumpaan dengan Ahli Parlimen Bersatu pada jam 9 pagi dan sebelum menghadiri mesyuarat itu beliau bertanya sekali lagi kepada Dr Marzuki sama ada tindakan untuk meletak jawatan itu adalah mengikut Perlembagaan.

“Ketika beliau bergerak untuk menghadiri mesyuarat itu, saya kebingungan memikirkan perbualan dengan Tan Sri sebentar tadi.

“Saya hanya melihat jiwa besar dan kemurahan hatinya,” kata Dr Marzuki.

Pada 16 Ogos, Muhyiddin menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai PM dan jawatan seluruh Jemaah Menteri dengan serta-merta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here