Desakan tubuh kerajaan perpaduan berbahaya

Pakar undang-undang, penganalisis risau desakan berterusan musnahkan proses demokrasi

0
281

TINDAKAN menggesa Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk kerajaan perpaduan berbanding pilihan melantik perdana menteri berdasarkan sokongan majoriti, akan mendatangkan bahaya kepada proses demokrasi.

Beberapa pakar perlembagaan dan undang-undang menyarankan, bagi menyelesaikan krisis politik semasa, Malaysia perlu mencari penyelesaian undang-undang dan bukannya jalan mudah untuk faedah jangka pendek.

Namun, mereka juga bersetuju bahawa mengulangi kesilapan melantik kerajaan dengan majoriti mudah juga boleh menjadi ancaman yang lebih besar terhadap kestabilan negara.

Pengarah Malaysia Centre for Constitutionalism and Human Rights (MCCHR), Fahri Azzat berkata, rakyat Malaysia tidak mencari penyelesaian jangka panjang dengan menggesa Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan demikian.

“Saya berpendapat kita dalam kedudukan bahaya kerana kita semua bergantung kepada Agong untuk cuba dan menyelesaikan perkara ini. Apa yang mereka minta Agong lakukan, ada harga yang harus dibayar di masa hadapan yang tidak dibincangkan.

“Sebagaimana yang kita lihat cara penyelesaian sekarang, saya berpendapat kita tidak melihat lebih jauh lagi. Dalam erti kata, menyeru pihak Istana untuk menyelesaikan apa yang sebenarnya merupakan masalah demokratik.

“Masalahnya di sini tidak ramai yang melihatnya daripada sudut undang-undang dan di Malaysia setiap masalah dilihat melalui spektrum politik dan bukan masalah undang-undang. Itulah sebabnya kita berada dalam kekacauan ini,” kata Fahri, memetik laporan The Malaysian Insight.

Peguam itu berkata, tindakan terbaik yang boleh diambil ialah mengadakan pilihan raya umum, namun itu pasti mustahil kerana pandemik Covid-19.

Katanya ketika rakyat Malaysia mahu perkara ini diselesaikan segera, membuat kompromi seperti itu akan mempengaruhi bagaimana keputusan dibuat pada masa hadapan.

“Kita terus menanggung masalah teknikal kerana mahukan kompromi dan penyelesaian yang mudah. Adakah ia menyelesaikan masalah? Tidak. Ini makin merumitkan keadaan.

“Kami tidak melihatnya secara sistematik dan sah mengenai cara menyelesaikan masalah ini.”

Pendapat ini disokong seorang ahli sains politik, Prof Dr Wing Chin Huat yang turut membidas cadangan supaya Yang di-Pertuan Agong menubuhkan kerajaan perpaduan.

Pensyarah Universiti Sunway ini menegaskan, peranan Yang di-Pertuan Agong ialah untuk memilih calon dengan sokongan majoriti dan bukannya calon yang baginda rasakan pemimpin terbaik.

“Jangan gunakan alasan lapuk kerana keadaan luar biasa memerlukan langkah yang luar biasa.

“Apabila anda dapat melanggar peraturan kali ini kerana keadaan ini cukup luar biasa, lain kali juga orang lain dapat melanggar peraturan untuk keadaan lain yang mereka anggap luar biasa juga.

“Integriti tidak mematuhi peraturan hanya jika sesuai dengan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here