Ismail Sabri sah Perdana Menteri ke-9

Terima 114 sokongan Ahli Dewan Rakyat, majlis perlantikan dijadual 2.30 petang esok

0
375

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu selepas menerima sokongan 114 Ahli Dewan Rakyat.

lstiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada jam 2.30 petang esok, di lstana Negara.

Ismail Sabri, 61, yang juga Naib Presiden Umno dan Ahli Pahlimen Bera, Pahang dilantik mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan serta membubarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada 16 Ogos lalu.

Keputusan melantik Ismail itu dicapai dalam Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang berlangsung selama dua jam, bermula 2.30 petang di Istana Negara, hari ini.

Proses ini adalah lanjutan daripada pertemuan Baginda dengan ketua dan wakil parti politik utama pada 17 Ogos lalu, di mana kesemua 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat diminta untuk menyatakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang diberikan kepercayaan untuk menjadi Perdana Menteri menerusi surat akuan (SD).

Pencalonan bakal Perdana Menteri menerusi SD itu bertujuan membantu baginda membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri, seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Istana Negara telah menerima pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada 220 Ahli-ahli Dewan Rakyat, masing-masing menerusi surat akuan (SD) pada 18 Ogos lalu.

“Dari surat-surat akuan tersebut, seramai 114 Ahli Dewan Rakyat telah mencalonkan Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob (Ahli Parlimen Bera), jumlah majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Susulan itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima menghadap 114 Ahli Dewan Rakyat semalam, untuk mengesahkan kepercayaan mereka ke atas ahli Dewan Rakyat yang telah dicalonkan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sehubungan itu, dan selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, Baginda telah berkenan melantik Yang Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here