Tengku Zafrul buktikan mampu urus kewangan negara

0
357

PELANTIKAN Tengku Zafrul yang juga bekas Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Berhad sebagai Menteri Kewangan menyaksikan beliau antara golongan teknokrat yang dilantik memegang jawatan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sememangnya, tempoh hampir selama 18 bulan perkhidmatannya sebagai Menteri Kewangan adalah sangat mencabar kerana ketika itu negara sedang diamuk keganasan Covid-19.

Beliau berdepan dengan dilema dalam mengimbangi antara nyawa dan kehidupan rakyat dengan usaha bagi memastikan kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi semasa pandemik berkenaan.

Sehubungan itu, Kementerian Kewangan di bawah kepimpinan Tengku Zafrul sebelum ini telah membuktikan kejayaan melalui keputusan untuk tidak menutup sepenuhnya sektor ekonomi yang dibuat berdasarkan kejayaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mencapai sasaran tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.

“Saya akui diri saya tidak sempurna, nonetheless, I did my job to the best of my ability and history shall be the better judge (namun, saya telah melakukan tugasan dengan sedaya upaya saya sebaik mungkin dan biarlah sejarah yang menghakiminya).”

Itu antara luahan yang agak menyentuh emosi oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diterjemahkan melalui laman Facebook peribadi beliau Isnin lepas dalam menggambarkan perasaan hatinya yang mengakhiri tugasan sebagai Menteri Kewangan bermula kelmarin.

“Saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada semua jika terdapat sebarang kekhilafan selama saya bertugas. Semoga Allah SWT memberkati negara ini dan rakyatnya, insya-Allah,” luahnya.

Berbeza dengan PKP Mac tahun lalu yang berjaya mengawal pandemik Covid-19 tetapi memberikan impak yang mendalam kepada ekonomi dengan kerugian RM2.4 bilion sehari.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan telah berjaya mengelakkan kerugian daripada penutupan sektor ekonomi sepenuhnya pada tahun ini yang dianggarkan boleh menyebabkan jumlah pengangguran mencecah satu juta, selain memberi kesan negatif terhadap pendapatan kira-kira 2.8 juta pekerja sektor informal yang kini berada dalam keadaan mudah terjejas.⠀

Dalam pada itu, tanggungjawab Zafrul semakin bertambah dan mencabar apabila turut dilantik sebagai Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negeri (PPN) pada awal Julai tahun ini, untuk bergabung dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diterajui ketika itu oleh Dato’ Seri Dr Adham Baba dalam usaha kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

Hasil kerjasama erat bersama KKM itu bagaimanapun berjaya membuktikan kredibiliti beliau apabila turut menyumbang kepada trend penurunan kadar kemasukan pesakit Covid-19 yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) ke hospital bagi semua peringkat umur.

Selain pertambahan kadar vaksinasi untuk rakyat yang secara keseluruhannya, 73.7 peratus atau kira-kira 17.25 juta penduduk negara ini sudah menerima satu dos vaksin, manakala 47.2 peratus penduduk, atau 11 juta penduduk sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Beliau sehubungan itu, berharap agar pembentukan kerajaan baharu bakal mengakhiri kemelut politik di negara ini supaya dapat memberi fokus sepenuhnya kepada usaha menangani cabaran pandemik Covid-19 demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata.

“Saya berharap episod ini akan membuka lebaran baharu ke arah pentadbiran Malaysia yang lebih stabil, agar fokus dapat diberikan 100 peratus kepada usaha untuk menangani cabaran Covid-19. – SB

Oleh YUSMAN AWANG

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SatuBerita. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. SatuBerita menghargai pendapat anda. Hantar pendapat anda ke emel, [email protected]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here