[VIDEO] DAP halangan terakhir Anwar jadi PM

0
463

DAP dikatakan menjadi halangan terakhir kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dilantik sebagai Perdana Menteri Kesembilan bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan semalam.

Ini ekoran perkembangan terbaharu politik yang menyaksikan Anwar berjaya memperoleh sokongan daripada kumpulan 15 ahli Parlimen UMNO yang memainkan peranan dalam menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan cara menarik balik sokongan baru-baru ini.

Bagaimanapun, sokongan kumpulan 15 UMNO kepada Anwar tidak disenangi DAP kerana parti itu dari dahulu lagi berpegang kepada prinsip tidak akan bekerjasama dengan UMNO yang dituduh sebagai sebuah parti kleptokrat.

Perkara itu terbongkar dalam satu tangkap layar perbuatan satu kumpulan WhatsApp yang dipercayai dianggotai oleh beberapa pemimpin PKR dan pasukan tentera siber parti tersebut yang sedang tular ketika ini.

Salah seorang pemimpin PKR dalam grup tersebut mendakwa seorang pemimpin UMNO sudah bersetuju untuk menandatangani perjanjian kepercayaan dan belanjawan (CSA) bagi menyokong Anwar secara en-blok.

Parti Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga berjanji untuk menyokong Presiden PKR itu dan dijanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri walaupun mereka menuntut jawatan Perdana Menteri.

“Isunya sekarang ialah kita perlu menyakinkan DAP untuk menerima pemimpin UMNO tersebut secara en-blok. Jadi sekarang apa yang kita perlu ialah meneutralkan sosial media agar dapat menerima kerjasama antara PH dan kumpulan UMNO tersebut demi menyelamatkan negara dan rakyat,’’ kata salah seorang ahli kumpulan itu yang dipercayai ahli Parlimen PKR.

Beliau juga mendakwa, UMNO akan mencalonkan nama Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here