Tiada parti politik boleh bentuk kerajaan sendiri

0
254

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

TIADA parti politik yang boleh membentuk kerajaan secara sendirian ketika ini kerana masing-masing tidak mempunyai majoriti sokongan.

Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, itu adalah situasi sebenar politik negara ketika ini.

Salleh turut berkata, terdapat keperluan untuk penjajaran semula dan kompromi membabitkan semua pihak.

“Tetapi fokus utama seharusnya kepada pemulihan. Parti politik perlu ingat perkara ini dan mempercayai Yang di-Pertuan Agong untuk memilih perdana menteri yang akan memikul tanggungjawab ini.

“Perdana menteri baharu boleh pertimbangkan untuk mewujudkan kabinet yang kecil, mahir dan bipartisan bagi membina kestabilan,” katanya menerusi hantaran terbaharu dalam Facebook rasmi beliau, hari ini.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh jemaah menteri berkuat-kuasa serta merta.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin pada kenyataan berkata, susulan peletakan jawatan itu, Seri Paduka turut berkenan supaya Muhyiddin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here