[VIDEO] Rakyat Afghanistan bertempiaran lari selepas Taliban tawan Kabul

0
553

RIBUAN warga Afghanistan meninggalkan kediaman mereka sejak kumpulan pemberontak Taliban mengumumkan telah menawan seluruh negara itu pada Isnin.

Perkara itu berikutan ketakutan yang timbul apabila Taliban bersikap semakin agresif dalam menekan penduduk termasuk merompak rumah hingga mengambil anak perempuan serta janda secara paksa.

Video yang tular di media sosial sejak semalam memaparkan keadaan kelam kabut di Lapangan Terbang Kabul ekoran ribuan rakyat Afghanistan berpusu-pusu keluar dari negara itu.

Namun, keadaan lebih parah apabila semua penerbangan komersial yang ingin keluar daripada Kabul dibatalkan.

Terdesak untuk meninggalkan negara mereka, orang ramai juga mula mengejar dan cuba berpaut pada badan dan tayar kapal terbang milik tentera Amerika Syarikat (AS) yang sedang berlepas.

Beberapa orang yang berpaut pada tayar pesawat dilaporkan terjatuh ketika pesawat sedang terbang tinggi.

Menerusi video 10 saat yang disiarkan agensi media, Asvaka, kelihatan dua tubuh melayang jatuh daripada pesawat pada ketinggian beratus kaki.

Lebih memburukkan keadaan, rakyat Afghanistan seolah-olah hilang arah selepas Presiden Afghanistan dilaporkan telah meninggalkan negara berkenaan pada Isnin atas alasan untuk mengelakkan pertumpahan darah ketika pemberontak Taliban memasuki ibu kota Kabul.

Tindakan presiden itu telah membangkitkan kemarahan dan kebingungan rakyat Afghanistan dengan sebahagian mereka menyifatkan Ashraf sebagai pemimpin pengecut.

Jurucakap urusan politik Taliban, Mohammad Naeem memaklumkan media antarabangsa bahawa perang di Afghanistan telah berakhir setelah mereka berjaya menawan ibu kota, Kabul.

Bagaimanapun, kekecohan yang berlaku di Afghanistan ketika ini adalah susulan daripada tindakan AS yang memanggil pulang hampir keseluruhan tentera mereka yang bertapak di sana.

AS yang mulanya berjanji untuk membawa pulang semua tenteranya dari Afghanistan pad 11 September 2021 telah bertindak melakukan perkara tersebut lebih awal dari jadual.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here