PN hanya calonkan Ismail Sabri sebagai PM baharu

0
250

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

PERIKATAN Nasional (PN) hanya menamakan Naib Presiden UMNO, Datuk Ismail Sabri Yaakob seorang calon sebagai Perdana Menteri baharu.

Seorang pemimpin kanan PN memberitahu, hanya satu nama dipersembahkan ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, hari ini.

“Ini juga dipersetujui Ahli Parlimen UMNO yang tidak bersama-sama Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Sekarang terpulang kepada kem Ahmad Zahid, sama ada bersama kami atau sebaliknya.

“Jelas kini, ada 100 ahli Parlimen menyokong PN. Kita sepakat memberikan peluang parti terbesar dalam PN untuk menjadi Perdana Menteri,” katanya, hari ini.

Menurutnya lagi, kumpulan Ahmad Zahid yang disertai 15 Ahli Parlimen UMNO pada masa ini menolak mencalonkan Ismail Sabri, sebaliknya menamakan Ahmad Zahid sebagai calon Perdana Menteri selain Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata, kumpulan Ahmad Zahid mempunyai dua pilihan, sama ada terus dengan niat mencalonkan Presiden UMNO itu atau Tengku Razaleigh atau menerima Ismail Sabri yang disokong ahli Parlimen PN.

“Jika Ahmad Zahid enggan menerima Ismail Sabri dan mahu bersama-sama Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan baharu, bermakna beliau dan kumpulannya akan mengkhianati UMNO dan melanggar keputusan Perhimpunan Agung UMNO yang tegas dengan pendirian ‘No Anwar, No DAP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here