Cadangan persefahaman rentas parti tidak merujuk pembentukan kerajaan baharu

0
303

TUJUH cadangan rangka persefahaman parti yang dikemukakan dalam ucapan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat, tidak merujuk kepada pembentukan sebuah kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sebaliknya ia adalah kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mendapat dukungan daripada sebahagian Ahli Parlimen pembangkang, bagi menyelesaikan isu-isu tertentu.

“Dia (cadangan) tidak merujuk kepada pembentukan sebuah kerajaan baharu, tetapi kerajaan PN yang insya-Allah jika ada sokongan daripada ahli-ahli parlimen yang lain termasuk ahli parlimen pembangkang, maka ia menjadi sebuah kerajaan yang mendapat dukungan daripada sebahagian ahli parlimen pembangkang, juga dalam isu-isu tertentu, isu-isu yang fundamental,” katanya dalam program Soal Rakyat terbitan TV3 semalam.

Menurutnya, tindakan kerajaan PN untuk berunding dengan pimpinan parti luar kerajaan ialah bagi mewujudkan kerjasama bipartisan demi kestabilan negara sekaligus memastikan kerajaan dapat terus berfungsi ketika pandemik COVID-19, serta menunjukkan politik yang lebih matang dan inklusif.

“Tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang dikemukakan kerajaan itu kepada Ahli Parlimen, terutamanya pembangkang adalah satu mercu tanda politik dalam perkembangan politik Malaysia,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, jika semua Ahli Parlimen belapang dada dan mengetepikan motif untuk menjatuhkan individu lain, cadangan tersebut mempunyai banyak ruang untuk dilaksanakan.

“Soal kerajaan minoriti yang ada persefahaman dengan pembangkang ini bukan perkara baharu, hari ini pun ada lebih kurang 10 atau 12 negara lain di dunia, yang mempunyai persefahaman sedemikian rupa.

“Dalam tujuh perkara persefahaman itu, saya lihat ia sangat baik, sebahagian besarnya itu perkara-perkara yang sudah dibicarakan sejak beberapa tahun lalu, baik oleh parti-parti politik atau masyarakat sivil,” katanya sambil menambah beliau secara peribadi sangat gembira dengan kesemua tujuh cadangan itu.

Saifudin turut menyifatkan suasana politik di Malaysia terlalu serius sehingga mengakibatkan pergaduhan dalam kalangan masyarakat mahupun keluarga masing-masing akibat perbezaan pendapat.

“Politik di Malaysia terlalu tajam, bezanya terlalu tajam sehingga menghiris, membawa luka yang besar sampai adik-beradik boleh berkelahi, satu kampung berpecah. Jadi sudah sampai seruan untuk politik bipartisan,” katanya.

Pada Jumaat, kerajaan mengemukakan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan sekiranya usul undi percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Muhyiddin berkata pihaknya akan menjemput semua pimpinan parti politik dari luar PN untuk berbincang mengenai cadangan itu minggu hadapan, dan beliau sedia mendengar pandangan semua pemimpin politik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here