Sidang DUN Johor bermula hari ini

0
264

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selama seminggu di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri bermula hari ini.

Johor menjadi negeri pertama mengadakan sidang DUN dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar akan merasmikan persidangan itu dan sudah tentu mencuri tumpuan memandangkan negara masih berdepan dengan cabaran mengekang penularan pandemik Covid-19.

Selain itu sidang DUN berlangsung dalam ketegangan politik antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan UMNO di peringkat Pusat.

Muhyiddin hadir sebagai ADUN Gambir.

Persidangan akan bermula dengan titah dan perasmian oleh Sultan Ibrahim sebelum ditangguh dan bersambung Ahad ini.

Persidangan tujuh hari yang dijadual berakhir 22 Ogos itu dilihat sebagai platform penting bagi kerajaan negeri memperjelaskan mengenai pelan tindakan untuk pemulihan ekonomi negeri Johor selain bantuan yang diberikan kepada rakyat Johor yang terjejas berikutan Covid-19.

Johor merupakan negeri di bawah kerajaan PN dengan majoriti tipis 29 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) hadir selepas ujian Covid-19 mendapati mereka semuanya negatif Covid-19.

Ini termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Mohd. Solihan Badri yang juga ADUN Tenang dan ADUN Mahkota, Muhamad Said Jonit yang keluar daripada Parti Amanah Negara (Amanah) dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini.

Kedua-duanya memberikan persetujuan untuk hadir sidang DUN selama satu minggu setelah mereka sebelum ini didapati positif Covid-19 dan sudah selesai menjalani kuarantin serta bebas daripada pandemik tersebut.

Ketua Whip Blok Kerajaan, Datuk Samsolbari Jamali berkata, semua 29 ADUN kerajaan akan hadir selepas semuanya negatif ujian Covid-19.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Aminolhuda Hassan yang juga ADUN Parit Yani berkata, semua 27 ADUN pembangkang didapati negatif ujian Covid-19 dan menyatakan persetujuan untuk hadir.

“Setakat ini saya tidak menerima sebarang laporan mengatakan ada ADUN daripada pembangkang yang tidak akan hadir, semua akan hadir sidang DUN pada kali ini,” ujar Ketua Pembangkang Johor itu. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here