Ajal belum tiba

0
351

SEORANG lelaki yang ditimpa besi perancah membina bangunan di kepalanya terselamat, selepas doktor berjaya mengeluarkan batang besi yang tertusuk di bahagian tengkorak.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 24 tahun sedang bekerja di sebuah tapak pembinaan di Ghaziabad, New Delhi, India apabila besi perancah jatuh dari tingkat 20, lalu menimpanya.

Times of India melaporkan, ketika kejadian, ada individu yang menjerit supaya meminta lelaki itu bergerak ke tepi. Mangsa mendongak ke atas dan ketika itu, besi perancah jatuh menembusi kepalanya.

Susulan kejadian, rakannya terpaksa memotong sebahagian daripada besi sepanjang enam meter itu sebelum mangsa dikejarkan ke hospital. Gambar dan imbasan sinar-X menunjukkan keadaan mengerikan dengan imej besi ‘tertanam’ di dalam kepalanya.

Dalam pada itu, doktor di Hospital Flores berkata, lelaki itu kemungkinan akan bertahan selepas menjalani pembedahan selamat empat jam untuk mengeluarkan besi berkenaan.

Namun, bahagian kiri badan mangsa itu akan lumpuh.

Pakar bedah saraf, Dr Abhinav Gupta turut mengeluarkan sebahagian besar tengkorak lelaki untuk mengelakkan kerosakan lebih teruk pada otak mangsa.

Bahagian tengkorak itu diletakkan sementara di ruangan berdekatan perutnya.

Ia kaedah yang digunakan untuk memastikan fragmen tengkorak itu tetap berfungsi dan membiarkan otak membengkak serta memudahkan aliran darah ke organ.

Bagaimanapun, terdapat kerosakan pada bahagian kanan otak pekerja pembinaan itu selepas besi menembusi kranium (bahagian atas tengkorak).

Dr Gupta berkata, pekerja binaan dari Jharkhand itu memerlukan pembedahan susulan dalam masa dua bulan untuk meletakkan kembali tengkorak itu ke tempat asalnya.

Menurut doktor, lelaki itu mempunyai peluang 90 peratus untuk selamat susulan kejayaan pembedahan kecemasan itu.

Dia kini boleh bernafas tanpa menggunakan alat bantuan pernafasan dan sudah membuka matanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here