Masalah kencing kerap boleh dirawat dan dipulihkan

0
300

DALAM keadaan kebanyakan ahli masyarakat terpaksa berada dan bekerja di rumah pada sepanjang masa disebabkan sekatan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara, semakin ramai yang mengadu mereka mengalami masalah kencing kerap, kata seorang pakar urologi.

Dalam kebanyakan kes, pesakit mengesyaki mereka mengalami masalah  pundi kencing terlalu aktif atau OAB dan meminta dirawat untuk penyakit itu. 

Bagaimanapun, sebelum sebarang ubat-ubatan atau rawatan diberikan, doktor perlu pastikan punca sebenar pesakit mengalami masalah itu kerana kerap buang air kecil juga mungkin berpunca daripada jangkitan saluran kencing atau hanya disebabkan terlalu banyak mengambil cecair.

“Untuk menentukan sama ada anda mengalami OAB, perkara pertama yang perlu disingkirkan ialah meminum terlalu banyak air atau pengambilan cecair yang melampau. Pada masa sekarang, ramai yang bekerja dari rumah berkecenderungan meminum air lebih banyak daripada kebiasaan, menyebabkan mereka kerap membuang air kecil.  

“Lazimnya, pengambilan cecair yang normal ialah dua hingga 2.5 liter sehari iaitu bersamaan kira-kira tujuh atau lapan gelas air. Sesetengah individu cenderung meminum lebih banyak air jika mereka tidak sibuk bekerja, sekali gus menimbulkan keadaan kencing kerap yang menyamai simptom OAB,” kata perunding pakar orulogi di Gleaneagles Kuala Lumpur Dr Warren Lo Hwa Loon kepada Bernama. 

OAB LEBIH BANYAK BERLAKU PADA WANITA

Menurut  Dr Lo, OAB merupakan kompleks gejala desakan untuk kencing yang lazimnya berserta kekerapan kencing dan kencing malam, sama ada dengan atau tanpa inkontinens urinari, dan tidak ada jangkitan saluran kencing atau jangkitan lain.

Beliau berkata di Malaysia, OAB lebih banyak dikesan dalam kalangan wanita (39.5 peratus) berbanding lelaki (26.8 peratus) yang lazimnya dikaitkan dengan inkontinens atau kegagalan kawalan pundi kencing.

“Dalam kalangan wanita, 9.3 peratus dilaporkan mengalami OAB dengan inkontinens, sementara bagi lelaki hanya 2.9 peratus mengalami OAB dengan inkontinens,” katanya.

Sekalipun OAB tidak semestinya sebahagian daripada proses penuaan, ada bukti menunjukkan penyakit itu merupakan sesuatu yang biasa apabila seseorang menua, katanya, menambah kira-kira 20 peratus mereka yang berusia 70 tahun ke atas mempunyai gejala dan 30 peratus bagi golongan berusia 75 tahun ke atas.

“Umumnya, keadaan ini bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam kalangan masyarakat,” katanya.

MENGETEPIKAN FAKTOR-FAKTOR LAIN

Dr Lo berkata bagi menentukan sama ada seseorang mengalami OAB atau tidak, adalah penting faktor-faktor lain dinyahkan terlebih dahulu sebelum diberikan rawatan untuk OAB.

Beliau berkata selain pengambilan terlalu banyak cecair, OAB juga boleh disebabkan oleh gangguan neurologi seperti Parkinson atau strok, kecederaan saraf tunjang atau pascapembedahan spinal.

Gejala OAB juga boleh berpunca daripada halangan pengaliran keluar pundi kencing yang disebabkan oleh pembesaran prostat, batu karang atau penyempitan uretra.

“Turut penting untuk diketepikan ialah kanser pundi kencing kerana penyakit ini juga sering berserta desakan untuk kencing, kekerapan kencing serta kencing berdarah, menyerupai gejala jangkitan saluran kencing atau OAB.

“Tanggapan biasa ialah jangkitan saluran kencing atau UTI yang menyebabkan kita berasa hendak kencing seperti kekerapan kencing akibat OAB, tetapi berserta rasa pedih dan kadang kala air kencing berbau serta berwarna keruh. Kadang-kadang penghidap UTI yang tidak mengalami sebahagian daripada gejala ini menganggap mereka mengalami OAB. Jangkitan saluran kencing dapat diatasi dengan pengambilan antibiotik,” katanya.  

OPSYEN RAWATAN YANG ADA

Dr Lo berkata ramai yang menderita OAB dalam diam atau menganggap inkontinens urinari sebagai sebahagian proses penuaan. Mujurlah kebanyakan kes pundi kencing terlalu aktif boleh dirawat dengan mengubah gaya hidup.

“Produk kafein dan berkarbonat serta sitrus dan minuman beralkohol diketahui menjadi perangsang pundi kencing dan merupakan pilihan gaya hidup sebahagian besar masyarakat. Elak mengambil minuman ini dan pengambilan berlebihan cecair (termasuk air kosong), ini akan mengurangkan gejala seakan OAB. Bagi gejala OAB lebih ringan, senaman Kegel boleh membantu dengan merehatkan otot lantai pelvis,” jelasnya.

Beliau berkata pesakit yang bergejala lebih serius mungkin perlu diberikan ubat bagi membantu merehatkan pundi kencing, sekali gus membolehkan penyimpanan lebih banyak urin dan mengurangkan desakan untuk kencing dan kekerapan kencing, serta inkontinens.

Rawatan menggunakan ubat-ubatan adalah sesuai untuk mereka yang mengalami masalah neurologi.

“Kehidupan sosial penghidap jangka panjang juga terjejas. Ramai yang cenderung menanggung keadaan itu dalam diam dan mengelak daripada menghadiri keraian dan majlis sosial kerana bimbang terkencing di dalam seluar atau berbau hancing disebabkan inkontinens urinari,” kata Dr Lo.

Bagaimanapun bagi sesetengah penghidap, ubat-ubatan mungkin membawa kesan sampingan seperti mulut kering dan sembelit. Selain itu, pesakit yang mengalami kemerosotan kognitif, masalah glaukoma atau tiroid yang diberikan ubat untuk OAB perlu diselia dan dipantau secara berkala oleh doktor mereka.

Menurut Dr Lo, Botox (drug yang  biasanya disuntik bagi merehatkan otot yang menyebabkan kedutan) juga boleh disuntik pada pundi kencing untuk merehatkan otot organ itu, dan menambah drug tersebut boleh menjadi opsyen rawatan  jika ubat-ubatan tidak berkesan atau sesuai dengan pesakit.

“Botox selalunya bertahan selama enam bulan. Menyuntik Botox pada pundi kencing adalah prosedur yang memerlukan pesakit dimasukkan ke hospital selama sehari dan pesakit yang sudah biasa boleh menjalaninya menerusi anestesia setempat. Prosedur ini ada risiko kecil, iaitu menyebabkan pesakit mengalami penahanan air kencing dan jangkitan saluran kencing selepas pembedahan,” tambahnya.

Jika semua rawatan lain tidak berkesan, pilihan terakhir ialah mengimplan Sacral neuromodulation (perentak pundi kencing). Peranti ini direka untuk meminda rentak saraf yang mengawal pengecutan pundi kencing. Alat ini berkesan bagi dua keadaan iaitu pundi kencing aktif melampau dan pundi kencing kurang  aktif.

Dr Lo berkata pesakit boleh mengawal intensiti peranti agar bersesuaian dengan tahap gejala OAB yang dialami mereka. Peranti ini perlu ditukar setiap lima hingga tujuh tahun, bergantung pada voltan yang digunakan.

“Peranti ini amat berguna bagi mereka yang mengalami masalah pundi kencing aktif melampau dengan kebocoran air kencing yang teruk. Peranti ini merupakan satu-satunya alat untuk merangsang pengecutan pundi kencing, digunakan oleh pesakit dengan kegagalan pundi kencing yang bergantung pada kateter urinari untuk mengeluarkan air kencing. Peranti ini membolehkan mereka kencing secara semula jadi tanpa kateter,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here