Zahid tawar diri jadi Perdana Menteri?

0
1642

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disebut-sebut akan menawarkan diri sebagai calon Perdana Menteri jika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal memperoleh sokongan majoriti di Parlimen atau membuat keputusan meletak jawatan.

Walaupun UMNO tidak akan memiliki jumlah sokongan yang mencukupi, Zahid dijangka memujuk ahli-ahli Parlimen daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Pas dan Bersatu untuk menyokong beliau.

Sumber dalaman UMNO memberitahu, Zahid perlu mendapatkan sokongan dengan cara mana sekali pun bagi memastikan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri seterusnya dapat ‘menyelamatkan diri’ daripada kes-kes mahkamah yang sedang dihadapi.

Sumber tersebut menambah: “Zahid tidak akan menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri kerana bertentangan dengan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020 ‘No Anwar No DAP,” ujarnya.

Beliau menambah, Zahid juga dilihat sukar untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP kerana tindakan itu akan menyebabkan ahli-ahli UMNO dan orang Melayu marah.

Sehubungan itu ujar sumber berkenaan, Zahid akan menggunakan naratif kerajaan baharu ini perlu diterajui oleh UMNO selaku parti Melayu/ Islam terbesar di negara ini.

“Zahid juga tahu sekiranya beliau menyokong Anwar menjadi PM, tidak ada jaminan Pakatan Harapan (PH) akan menggugurkan kes-kes mahkamah yang dihadapinya kerana dendam kesumat PH kepada kumpulan kleptokrat dan kluster mahkamah dalam UMNO.

“Sebaliknya Zahid tahu, hanya dengan dilantik menjadi Perdana Menteri beliau berkuasa ‘melakukan sesuatu’ bagi membolehkan kes- mahkamahnya diselesaikan,” ujar sumber itu lagi.

Sebelum ini ahli-ahli politik daripada UMNO memainkan retorik Kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal dan menderhaka kepada Raja sebagai senjata untuk mendesak Muhyiddin meletak jawatan bagi membuka ruang kepadanya menawarkan diri menjadi PM.

Gerakan menjatuhkan kerajaan PN dilihat semakin giat dijalankan mutakhir ini kerana Zahid bakal berhadapan perbicaraan di mahkamah pada 24 Ogos nanti.

Pada masa ini UMNO hanya mempunyai 38 kerusi Parlimen. Zahid memerlukan sokongan daripada parti-parti lain dalam PN untuk mendapat majoriti 111 kerusi bagi menubuhkan kerajaan.

Menurut sumber itu lagi, kumpulan Zahid sedang giat memujuk Ahli-ahli Parlimen PN untuk menyokong beliau sebagai PM menjelang Parlimen dibuka pada September ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here