Jumlah kehadiran ke Parlimen akan dikurangkan

0
325

JUMLAH kehadiran kakitangan kerajaan termasuk Ahli Parlimen yang menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14, yang dijadual bermula 6 September ini mungkin akan dikurangkan, bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, langkah itu bagi memastikan kelancaran persidangan Parlimen dan mengelak berulangnya penularan Covid-19 seperti yang berlaku pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat, hujung Julai lalu.

Sebelum ini, seorang pegawai khas kepada seorang Timbalan Menteri yang bertugas di Parlimen pada hujung Julai lalu disahkan meninggal dunia akibat dijangkiti varian Delta Covid-19.

Pegawai itu menghadiri sidang khas yang bermula 26 Julai, dan kali terakhir berada di Parlimen pada 29 Julaisebelum menunjukkan simptom pada 30 Julai.

Mohd Rashid menegaskan, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua-ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang (jumlah kehadiran Ahli Parlimen).

“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya dipetik mengikut laporan Bernama.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen.

Sehingga 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif wabak berkenaan dikesan melibatkan individu yang menghadiri sidang khas itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here