Berebutlah bantu rakyat, bukannya berebut kuasa: Sultan Johor

0
554

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menzahirkan rasa kecewa baginda terhadap perebutan kuasa yang berlaku di Malaysia ketika ini, terutama di saat-saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah.

“Saya berasa kecewa apabila ada pemimpin yang mengganggu kerajaan dan berebut kuasa di saat rakyat dalam keadaan susah dan gelisah berhadapan dengan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.” katanya menerusi muat naik di akaun Facebook rasmi baginda.

Baginda juga menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutamanya pemimpin Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT.

“Sempena permulaan Tahun 1443 Hijrah hari ini, saya menyeru kepada semua pemimpin Islam, terutama pemimpin bangsa Melayu di negara ini, supaya menginsafi bahawa segala kuasa pemerintahan itu adalah hak Allah SWT dan Dialah yang memberi kuasa kepada orang yang dikehendaki, dan Dia juga yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Dia kehendaki.

“Oleh itu, semua pemimpin perlulah jujur dan amanah dalam memikul tanggungjawab yang diberikan, dengan mengutamakan kepentingan rakyat dan perpaduan ummah, bukannya kepentingan diri sendiri sehingga menggugat keharmonian masyarakat dan kestabilan politik tanahair.”

Baginda turut bertitah, sekarang adalah masa untuk berebut-rebut membantu rakyat dan bukannya masa untuk berebut kuasa dan kedudukan. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here