Kepentingan rakyat perlu diutamakan

0
386

POLITIK di Malaysia menjadi tumpuan disebabkan kemelut yang menjadi tekanan kepada pihak kerajaan walaupun negara berada di dalam situasi pandemik yang membimbangkan.

Menurut Pengarah ILHAM Centre, Hisomuddin Bakar, pihak kerajaan dan pembangkang harus mencari jalan penyelesaian dan kepentingan rakyat harus diutamakan.

Beliau berkata, rakyat sudah hadapi tempoh berkurung yang panjang, secara tidak langsung kegiatan ekonomi mereka juga terhenti dalam tempoh yang lama.

“Contohnya bagi negeri yang berdepan lockdown dengan lebih awal, mereka sudah hadapi tempoh berkurung yang panjang. Kegiatan ekonomi mereka juga terhenti dalam tempoh yang lama, ia sudah tentu memberi tekanan kepada rakyat untuk berdepan dan meneruskan kelangsungan hidup.”

Hisomuddin turut berpendapat, situasi kemelut politik perlu diselesaikan segera oleh tokoh-tokoh politik demi memastikan kelangsungan hidup rakyat.

“Dalam situasi ini, ia perlu diselesaikan segera oleh tokoh-tokoh politik dalam mencari jalan kompromi dan jalan damai untuk memastikan kesihatan rakyat dan ekonomi berada di landasan yang tepat untuk dipulihkan.”

“Buat masa ini situasi itu seakan tergantung dan tak jelas bagaimanakah rakyat ingin melihat kerajaan atau tokoh politik dalam negara ini menyelesaikan isu mereka.”

“Dalam situasi yang terhimpit, ia memerlukan kerajaan dan pembangkang untuk melihat nasib rakyat, kepentingan rakyat perlu diutamakan.” 

Ketua Armada Bersatu, Wan Fayhsal, pula berpendapat politik negara pada ketika ini sangat tidak stabil, malah negara berdepan dengan situasi yang amat meruncing dari segi pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama kerajaan sedang berusaha gigih untuk menyempurnakan Pelan Pemulihan Negara (PPN)

Beliau juga berpendapat, permainan politik oleh Presiden UMNO sangat tidak bertanggungjawab kerana ia mengundang masalah politik dan mengugat kestabilan pada kerajaan hari ini.

“Di tengah-tengah usaha yang begitu besar ini kita dikejutkan dengan permainan politik yang tiada berkesudahan oleh Presiden UMNO, Dato Seri Zahid Hamidi yang berdepan dengan pertuduhan mahkamah yang serius yang bakal dibicarakan tidak lama lagi.

“Dan ini perkara yang sebenarnya mengundang masalah politik di tanah air kita, pemimpin yang mempunyai masalah berdepan dengan tekanan tekanan sebegini akhirnya mengugat kestabilan kerajaan hari ini.”

Beliau turut berpendapat rakyat sedang merana dan tokoh-tokoh politik harus berikan ruang yang secukupnya untuk kerajaan menyempurnakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang berkhidmat kepada masyarakat. 

“Kenapa tidak mahu tunggu, biarkanlah kerajaan sempurnakan kerja-kerja Pelan Pemulihan Negara khususnya Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Ini amat penting kerana yang sedang merana dan susah adalah rakyat, kita harus berikan ruang yang secukupnya untuk kerajaan yang ada pada hari ini menyempurnakan tanggungjawab hakiki sebagai wakil rakyat yang berkhidmat kepada masyarakat.” – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here