Rakyat tengah susah, tak wajar lari tanggungjawab

0
233

MENTERI Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa tidak wajar menteri-menteri dari UMNO meninggalkan jawatan masing-masing dalam keadaan kesulitan dihadapi rakyat pada masa ini.

Beliau berkata, di saat semua menteri memfokuskan usaha mendepani Covid-19 langkah meninggalkan kerajaan secara terburu-buru boleh membantutkan segala perancangan.

“Rakyat tengah susah kita nak tinggal begitu. Katakan Khairy Jamaluddin sebagai menteri yang fokus soal vaksin ketika ini tiba-tiba nak keluar kerajaan, begitu juga Dr Adham Baba jaga kesihatan, Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kanan Luar Negeri (Keselamatan), Hishammuddin Hussein.

“Kebetulan mereka semua dari UMNO, semua ada tanggungjawab, jadi kita kena fikir betul-betul yang mana perlu didahulu dan yang mana kena tunggu, tapi kerja pada rakyat harus dilakukan,” katanya dalam wawancara rancangan Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi.

Beliau mengulas keputusan yang diumumkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu menarik balik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan  kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mengenai dakwaan kerajaan menderhaka kepada Raja-Raja Melayu, beliau berkata, tuduhan itu dicipta oleh pihak yang ingin menjatuhkan kerajaan.

Katanya, jika benar wujud penderhakaan, sudah pasti Yang di-Pertuan Agong tidak memberi perkenan Perdana Menteri untuk menghadap baginda sehingga tiga kali dalam tempoh seminggu ini.

“Kali pertama apabila berlaku kekalutan berhubung Ordinan Darurat berikutan kenyataan menteri 26 Julai, pada 27 Julai Perdana Menteri menghadap, Tuanku terima untuk (beliau) beri penjelasan.

“Pada 29 Julai sebelum mesyuarat Kabinet Perdana Menteri menghadap, dan hari ini menghadap lagi.

“Seminggu tiga kali menghadap, orang yang derhaka Tuanku tidak bagi masuk dalam Istana,” ujarnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here