Mayat bayi terlepas pegangan jatuh longkang

0
237

POLIS menemukan mayat bayi perempuan di dalam longkang berhampiran kebun durian Mukim 6, Pondek Upeh Balik, Pulau di sini, dalam keadaan masih bertali pusat dan dikerumuni ikan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mayat bayi berkenaan ditemukan pada 2.30 petang selepas pihaknya menerima laporan doktor di Hospital Balik Pulau.

Menurutnya, doktor terbabit mendakwa menerima pesakit wanita warga asing yang mengalami pendarahan pada rahim dan dipercayai baru melahirkan bayi.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 35 tahun itu dimasukkan ke hospital berkenaan semalam selepas dia ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri serta berlumuran darah oleh majikannya pada 6 petang,

“Suspek mengaku membuang bayinya di dalam longkang dan pada awalnya dia berniat menanam bayi itu selepas menyedari lahir dalam keadaan tidak bernyawa.

“Bagaimanapun, apabila sampai berdekatan longkang suspek berasa mahu pitam dan bayi berkenaan terlepas daripada pegangannya sebelum jatuh dalam longkang,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Kamarul berkata, suspek sempat kembali ke rumah dan pengsan di dapur sebelum dibantu majikannya yang berusia 54 tahun.

Beliau menambah, suspek juga mengaku mengandung hasil hubungannya dengan pekerja kebun yang tinggal berdekatan dengan tempat kerjanya.

“Mayat bayi itu akan dibedah siasat hari ini selepas mendapat keputusan saringan Covid-19 dan usaha mengesan lelaki yang dipercayai bapa bayi berkenaan sedang giat dijalankan.

“Suspek wanita itu ditahan di wad hospital ketika ini berikutan dia masih perlu mendapat rawatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here