[VIDEO] Kerajaan PN masih ada sokongan majoriti, termasuk dari PKR – Zahidi

0
343

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) masih lagi mempunyai sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen pelbagai parti termasuk daripada PKR.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin. berkata, sehubungan itu rakyat dinasihatkan untuk tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang mahu menjatuhkan kerajaan PN.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, mengesahkan apa yang diperkatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri bahawa PN mempunyai sokongan daripada 40 Ahli Parlimen BN adalah benar.

Tambahnya, terdapat perbincangan yang sedang berlangsung untuk menambah lagi sokongan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen, namun tiada perincian diberikan.

“Yang menyokong kerajaan PN adalah 40 orang. Dan kita sedang negotiate lagi, satu dah keluar iaitu Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah).

“Tiga lagi (Ahli Parlimen) dari PKR… saya tak tahu siapa tapi bertambah termasuk Datuk Seri Xavier Jayakumar dan sebagainya.

“(Jadi) ada pertambahan, tiada pengurangan. Kurang satu dua, tapi kita tengah berbincang, kalau boleh Presiden UMNO sokonglah,” katanya pada sidang media di RTM pada Selasa.

Dalam pada itu, Zahidi menyarankan agar UMNO terus memberi kepercayaan kepada Ismail Sabri yang juga Naib Presiden parti serta tidak mengkhianati kerajaan yang ditubuhkan bersama.

Mengulas saranan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menyokong PN, tetapi tidak menyokong Perdana Menteri beliau berkata, ia tidak praktikal.

“Kerana kalau kita bersama Bersatu tapi tidak sokong Presiden Bersatu ini tidak praktikal. Sokong Pas tidak sokong (Presiden Pas) Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga tidak praktikal.

“Kalau ahli-ahli UMNO nak amal dalam UMNO (sendiri) sokong UMNO tapi tak sokong Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), kita boleh cuba,” katanya lagi.

Zahidi berkata, adalah penting untuk semua pihak bersama-sama dengan Bersatu dan PN supaya kerajaan boleh memberi tumpuan kepada Pelan Pemulihan Negara (PPN) untuk keluar dari kemelut pandemik COVID-19 serta krisis ekonomi negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here