Gara-gara ‘unta’ ketua pasukan berbasikal Jerman dihantar pulang

0
327

GARA-gara terlalu bersemangat untuk menaikkan moral anak buahnya, seorang pegawai sukan Jerman terpaksa melupakan Sukan Olimpik Tokyo apabila dihantar pulang ke negaranya serta merta.

Patrick Moster yang juga Pengarah Sukan Persekutuan Berbasikal Jerman didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman ketika leka memberi semangat kepada anak-anak buahnya pada acara ujian masa berbasikal kategori lelaki Sukan Olimpik Tokyo semalam.

Kenyataan Moster bagaimanapun berjaya dirakam jurukamera bertugas.

“Pengurusan Kontinjen Jerman pada Sukan Olimpik Tokyo telah membuat keputusan, Moster tidak boleh meneruskan tugasnya sebagai ketua pasukan berbasikal Jerman dan perlu pulang,” kata kenyataan pada Khamis.

Moster dilaporkan menyebut: “Kejar unta… kejar unta.. ayuh…,” kepada pelumba basikal Jerman, Nikias Arndt yang pada masa itu berada di belakang pelumba basikal Algeria, Azzedine Lagab dan pelumba basikal Eritrea, Amanuel Ghebreigzabhier.

Moster bagaimanapun telah memohon maaf atas kejadian itu dan menyifatkan ia berlaku kerana ‘tekanan memuncak dalam perlumbaan.

Moster turut menekankan dia bukan seorang bersifat perkauman.

Permohonan maaf Moster diterima Jawatankuasa Olimpik Jerman DOSB), bagaimanapun jawatankuasa berkenaan tidak mampu membenarkan Moster kekal di Tokyo selepas kenyataannya itu menimbulkan kemarahan di Tokyo dan Jerman – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here