Kes Covid-19 naik, Phuket Sandbox berisiko ditangguh

0
260

PULAU peranginan terkenal Phuket yang dibuka semula untuk pelancong asing yang lengkap divaksin tanpa perlu menjalani kuarantin wajib, kini menyaksikan peningkatan kes Covid-19.

Statistik Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) menunjukkan, pulau itu melaporkan 79 kes baharu dari 19 hingga 25 Julai , dan 54 kes direkodkan pada dua hari pertama minggu ini (26 hingga 27 Julai).

Ini bermakna inisiatif Phuket Sandbox mungkin dihentikan kerana sebelum ini kerajaan menyatakan program itu akan ditangguhkan jika lebih 90 kes dilaporkan dalam seminggu.

Namun, usaha sedang dilakukan untuk menyelamatkan inisiatif itu. Justeru, Gabenor Phuket Narong Woonciew berkata semua institusi pendidikan tempatan akan ditutup sehingga 16 Ogos selain pusat beli-belah dan tempat sukan ditutup sehingga 2 Ogos.

Katanya, pihak berkuasa tempatan juga melarang perjumpaan awam melebihi 100 orang mulai Selasa.

Media tempatan melaporkan peningkatan kes Covid-19 disebabkan pengunjung memasuki pulau itu untuk mencari pekerjaan sejak ia dibuka semula.

Sejak Phuket membuka semula pintu pada 1 Julai, sejumlah 11,806 pelancong asing memasuki pulau itu dengan 26 daripadanya disahkan positif virus itu pada 26 Julai.

Sebanyak 278,623 bilik penginapan telah ditempah sehingga September.

Presiden Majlis Pelancongan Phuket Thaneth Tantipiriyakij berkata pegawai akan memantau keadaan untuk beberapa hari lagi sebelum memutuskan sama ada perlu melaksanakan langkah-langkah keselamatan tambahan, lapor Bloomberg pada Selasa.

Sementara itu, Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand turut mengusulkan agar syarat-syarat “Phuket Sandbox” disemak semula, termasuk mengurangkan tempoh wajib tinggal 14 hari di pulau itu kepada tujuh hari dan pelancong boleh menghabiskan tujuh hari lagi di ‘laluan tertutup’ di lima wilayah lain.

Lima wilayah tersebut adalah Krabi, Phang-nga, Samui, Chiang Mai dan Lamphun (dijadualkan dibuka semula untuk pelancong asing pada Oktober). Usul itu akan dibincangkan dalam mesyuarat CCSA yang dipengerusikan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dalam masa terdekat. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here