Hari Kemerdekaan detik gilap semangat moral demi negara gagah, bersatu – Azmin

0
132

SAMBUTAN Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah detik untuk negara mencipta sejarah dengan menggilap semangat moral yang jitu demi Malaysia yang gagah dan bersatu.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional, Datuk Seri Azmin Ali berkata, ia dapat dilakukan menerusi tumpuan kepada agenda prihatin rakyat dengan memacu pertumbuhan ekonomi lestari, melonjak kehebatan daya saing Malaysia di peringkat rantau dan global, mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menjamin masa depan yang harmoni untuk rakyat Malaysia.

“Maka, marilah kita rakyat Malaysia, bersatu hati dan bersatu tenaga, membingkai muafakat demi umat dan negara,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun ini.

Berikut kenyataan penuh Azmin yang disiarkan menerusi akaun Facebooknya pada Rabu.

31 Ogos mengingatkan kita kepada perjuangan untuk menebus maruah tanah air yang diinjak-injak oleh kerakusan kuasa penjajah.

Justeru itu, perjuangan suci ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada anak watan dan putera-puteri Malaysia untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara dan kemakmuran rakyat.

Masa berlalu dan Negara berdepan dengan pelbagai cabaran baru. Kita berdepan dengan pembela nilai budaya asing yang bersekongkol dengan kedurjanaan dan meruntuhkan tamadun umat.

Kita juga berdepan dengan kakistocracy yang gagal mengisi kemerdekaan dengan prinsip perjuangan yang luhur dan ikhlas, tenggelam dan lemas dengan kekuasaan dan kebesaran, acap berkata tidak dikota, ekonomi punah rakyat gelisah, akibatnya gelombang rakyat memuncak, menuntut dimerdekakan dari tangan-tangan perosak.

Maka, marilah kita rakyat Malaysia, bersatu hati dan bersatu tenaga, membingkai muafakat demi umat dan negara.

Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah detik untuk kita mencipta sejarah dengan menggilap semangat moral yang jitu demi Malaysia yang gagah dan bersatu.

Kita tumpu agenda prihatin rakyat dengan memacu pertumbuhan ekonomi lestari, melonjak kehebatan daya saing Malaysia di peringkat rantau dan global, mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menjamin masa depan yang harmoni untuk rakyat Malaysia.

DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI
Ketua Penerangan
Perikatan Nasional

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here