‘Jangan abaikan, hakis terma-terma asas kemerdekaan negara’ – Muhyiddin

0
181

TERMA-TERMA yang menjadi asas kemerdekaan negara dan kemajuan bangsa hendaklah terus dipertahankan dan dilaksanakan menerusi dasar-dasar dan program-program kerajaan yang jelas dan menyeluruh.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, walau kerajaan manapun yang mentadbir negara, janganlah sesekali terma-terma asas itu diabaikan atau dihakis.

“Pematuhan kepada kontrak sosial ini telah menjadi asas kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk hidup secara aman dan harmoni.

“Keamanan dan keharmonian yang dikecapi ini telah memberi ruang kepada usaha-usaha untuk mengisi kemerdekaan negara dilaksanakan,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66.

Berikut ucapan penuh Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional seperti disiarkan di akaun Facebooknya pada Rabu.

Esok kita akan menyambut Hari Kebangsaan ke-66. Telah 66 tahun negara kita merdeka dan sepanjang tempoh itu negara kita telah melalui pelbagai fasa pembangunan dan kemajuan yang menjadi bukti pengisian kemerdekaan negara.

Sempena Hari Kebangsaan ini, wajarlah kita memperingati dan menghargai jasa-jasa pemimpin bangsa kita yang terdahulu dalam memperjuangkan kemerdekaan negara. Mereka berjuang dengan gigih untuk memerdekakan tanah air kita kerana itulah lambang kehormatan bangsa.

Bangsa kita tidak mempunyai kehormatan diri jika terus dijajah. Dengan kemerdekaan itu, kita mempunyai hak dan kebebasan untuk memerintah tanah air sendiri serta memajukan bangsa dan tanah air kita.

Dalam mengemudi negara menuju masa hadapan, jangan kita lupa bahawa asas kemerdekaan negara kita ini dibina di atas terma-terma mengenai hak-hak kaum yang dipersetujui secara bersama oleh pemimpin kaum-kaum utama di tanah air kita pada masa itu. Terma-terma ini kemudiannya terpahat di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Antaranya, kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan kemudiannya anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah untuk semua kaum, Islam sebagai Agama Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan harmoni, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa ibunda yang lain boleh dipertuturkan oleh kaum bukan Melayu dan hak kerakyatan untuk kaum bukan Melayu dengan syarat-syarat yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pematuhan kepada kontrak sosial ini telah menjadi asas kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama untuk hidup secara aman dan harmoni. Keamanan dan keharmonian yang dikecapi ini telah memberi ruang kepada usaha-usaha untuk mengisi kemerdekaan negara dilaksanakan. Ini termasuklah memacu pembangunan dan kemajuan ekonomi negara yang telah mengangkat taraf hidup rakyat daripada kehidupan yang mundur dan miskin kepada kehidupan yang lebih maju dan selesa.

Sepanjang 66 tahun ini kerajaan silih berganti. Selepas ini pun mungkin akan berganti lagi kerana Malaysia sebuah negara demokrasi. Walau kerajaan manapun yang mentadbir negara, terma-terma yang menjadi asas kemerdekaan negara dan kemajuan bangsa ini hendaklah terus dipertahankan dan dilaksanakan menerusi dasar-dasar dan program-program kerajaan yang jelas dan menyeluruh. Janganlah sesekali ianya diabaikan atau dihakis.

Semoga Malaysia terus aman, makmur dan harmoni.

Hubbul watan minal iman – mencintai tanah air adalah sebahagian daripada iman.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Presiden BERSATU
Pengerusi Perikatan Nasional

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here