Pembantu peribadi mengaku tak bersalah pecah amanah hampir RM1.6 juta

0
217

SEORANG pembantu peribadi kepada pengarah sebuah syarikat perunding pertahanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah berjumlah lebih RM1.58 juta antara bulan Disember 2021 sehingga Disember 2022.

Tertuduh, Tan I-Lyn bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Datin Sabariah Othman, pagi ini.

Mengikut pertuduhan pertama, wanita berusia 39 tahun itu didakwa sebagai pekerja iaitu pengurus pentadbiran dan pembantu kepada pengarah syarikat Ada Vinci Global Sdn. Bhd. telah diamanahkan untuk menguruskan perihal kewangan syarikat berkenaan.

I-Lyn didakwa telah melakukan pecah amanah jenayah iaitu dengan curangnya mengambil wang milik syarikat itu berjumlah RM58,354 yang mana dia telah menjadikan harta tersebut bagi kegunaan sendiri.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa sebagai pemegang jawatan yang sama telah melakukan kesalahan serupa iaitu melakukan pecah amanah terhadap wang milik syarikat yang sama berjumlah RM1,518,422.88 yang juga dijadikan harta untuk kegunaan sendiri tertuduh.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat berkenaan di Menara YNH Kiara di Mont Kiara, dekat Brickfields di Kuala Lumpur antara 3 Disember 2021 sehingga 10 Disember 2022.

Tan I-Lyn,39, menghadapi pertuduhan pecah amanah di sebuah syarikat firma perunding pertahanan berjumlah lebih RM1.58 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan tidak lebih daripada 14 tahun, dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Noor Shakira Aliana Alias tidak mencadangkan sebarang jaminan dibenarkan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan jaminan, Noor Shakira mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM120,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu.

Noor Shakira juga mencadangkan agar tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa miliknya untuk simpanan mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam yang mewakili tertuduh, Azzuan Shah Abd. Razak memohon agar mahkamah menetapkan jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya mempunyai masalah kesihatan iaitu penyakit darah tinggi dan penyakit kencing manis.

“Saya juga difahamkan bahawa pasport tertuduh telah dirampas sejak dia ditahan oleh pihak berkuasa. Namun tertuduh tidak membantah sekiranya perlu menyerahkan pasport miliknya kepada mahkamah bagi tujuan merendahkan jumlah jaminan,” kata peguam itu, lapor Utusan TV.

Mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Sabariah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM70,000 bagi kedua-dua pertuduhan selain syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 27 September depan bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here