Gelombang PN akan turut landa Johor, bawa kemenangan di Pulai serta Simpang Jeram – Sanusi

0
163

Oleh RIZQI ZABIDI

GELOMBANG Perikatan Nasional (PN) yang dibuktikan di beberapa negeri dalam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini akan turut melanda Johor sekali gus membawa kemenangan kepada gabungan tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) untuk Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kemaraan gelombang itu tidak lagi boleh disekat dengan beliau turut menyifatkan bahawa Johor sudah tidak lagi menjadi kubu kuat UMNO.

“Dulu Johor memang kubu kuat UMNO tetapi sekarang tak lagi. Semua perkara boleh berubah dengan parti-parti di luar negara yang bersifat kuku besi macam di Jerman Barat dan Parti Demokratik Liberal (LDP), Jepun pun boleh ‘terbalik’.

“Dah sampai masanya berubah dengan UMNO, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PJ) akan terbalik dengan gelombang PN di Johor nanti. ‘No more’ kubu kuat… Di sana dilahirkan UMNO, di sana juga kuburnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Hari Penyayang Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Sebelum ini, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Nur Jazlan Mohamed dilaporkan berkata, dakwaan gelombang PN bakal melanda negeri Johor susulan PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram itu bagai bermimpi di siang hari.

Menurut Nur Jazlan, PN yang membabitkan tiada kekuatan di Johor dan gabungan tersebut hanya berkisar di bahagian utara iaitu Pagoh menerusi Ahli Parlimennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Parlimen Mersing.

Muhammad Sanusi dalam pada itu turut mengulas dakwaan Nur Jazlan yang mendakwa cakap-cakap Menteri Besar Kedah itu tidak laku di Johor kerana penduduknya sederhana dan tidak ekstrem dengan isu agama serta kaum dimainkan PN.

“Cakap Nur Jazlan pun tak laku kerana UMNO tak boleh nak berlawan di dua kawasan itu. UMNO lawan pun kalah dan kalau dibandingkan antara kami berdua di merata-rata, saya laku lagi,” katanya.

Dalam pada itu Muhammad Sanusi turut yakin bahawa DUN Simpang Jeram akan menjadi pintu masuk serta pencetus kepada gelombang PN bagi bertapak di Johor pada pilihan raya akan datang.

“Sambutan luar biasa terhadap PN, gelombang ini tidak boleh disekat lagi dan semua tahu bahawa mana-mana yang ‘berpakat’ dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan kalah,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here