Kemenangan PRK Pulai, Simpang Jeram tidak mustahil – Sanusi

0
193

GELOMBANG rakyat di enam Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini diharapkan sampai dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) Pulai dan Simpang Jeram, kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu berkata dua PRK tersebut penting bagi menyampaikan isyarat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar tentang kegagalan pentadbirannya.

“Saya harap Simpang Jeram ini akan menerima aura dari Terengganu dari Kelantan dari Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor.

“Tuan-tuan sekalian, gelombang Perikatan Nasional ini telah melanda negeri di pantai timur di utara dan telah turun selatan tanah air. Dan saya yakin Simpang Jeram dan Pulai ini akan menjadi penentu penting untuk kita hantar mesej kepada Bang Non (Anwar),” katanya semasa ceramah di Markas PAS Bakri, malam tadi.

Selain Sanusi, turut hadir ke pelancaran jentera dan pengisytiharan calon PN adalah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menteri Besar Kedah itu juga berkata kemenangan dua PRK tersebut tidak mustahil dan boleh memberi impak besar.

“Sungguh ni, Bang Non duduk ketaq (gementar) dah tue… Hampa bagi dia demam sama. Insya-Allah bukan perkara yang mustahil benda ni boleh berlaku.

“Siapa sangka negeri terkuat DAP di dunia Pulau Pinang? Kalah 11 kerusi,” katanya lagi lapor AgendaDaily.

Menurut Sanusi lagi, jika kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-UMNO tewas lagi dua PRK, ia sekurang-kurangnya dapat menyekat kerakusan mereka yang berterusan menekan dan menzalimi lawannya.

Kehadiran Sanusi semasa program ceramah di Bakri disambut dengan sorakan serta laungan takbir daripada orang ramai khusunya penyokong parti berkenaan yang menunggu sejak jam 8.30 malam.

PN meletak pakar bedah, Dr Mazri Yahya menentang calon Pakatan Harapan (PH) dari Amanah, Nazri Abd Rahman pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, manakala Zulkifli Jaafar pula diletak sebagai calon Parlimen Pulai.

Penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada Sabtu ini.

Kedua-dua kerusi itu kosong selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Salehuddin Ayub pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here