LHDN beku akaun bank Hamzah, keluarga

0
174

LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) dilaporkan mengambil tindakan membekukan akaun bank milik Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Tindakan tersebut turut dikenakan terhadap keluarga Ahli Parlimen Larut itu.

Sumber yang tahu berkenaan perkara itu memaklumkan, akaun beliau dibekukan bermula semalam.

Tindakan berkenaan dipercayai ada kaitan dengan siasatan berterusan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap ahli politik berkenaan.

Malaysiakini telah menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan maklum balasnya berkenaan perkara ini.

Terdahulu hari ini, The Star memetik sumber yang tidak didedahkan berkata pembekuan akaun tersebut berlaku semalam, namun laporan itu tidak menyatakan nama ahli politik berkenaan secara khusus.

LHDN enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menjelaskan hanya pihak yang terlibat boleh mengesahkan pembekuan akaun berkenaan.

Pun begitu beberapa “sumber yang rapat dengan pemimpin” terbabit memberitahu The Star tindakan yang diambil ke atas tokoh politik pembangkang berkenaan memang benar.

“Ya, ia berlaku tetapi dia (ahli politik berkenaan) tidak terganggu dengan langkah tersebut.

“Saya pasti dia ada alternatif lain, sebab itu dia tidak bimbang mengenai pembekukan akaun tersebut,” dakwa sumber itu.

Sementara itu, Sinar Harian memetik sumber menyatakan ahli politik terbabit ialah Hamzah.

“Bukan sesuatu yang mengejutkan dan memang Hamzah menjadi sasaran politik,” kata sumber tersebut.

Pada Jun lalu Malaysiakini melaporkan pegawai LHDN menyerbu kediaman Hamzah di Kuala Lumpur dan sejumlah fail serta dokumen berkaitan akaun dan pemilikan asetnya dikatakan disita.

Awal bulan ini, Hamzah yang juga ketua pembangkang Parlimen menghantar surat tuntutan kepada kerajaan dan Tan Sri Azam Baki dengan menuduh mereka menyalahgunakan kuasa untuk mendakwanya atas jenayah yang tidak dilakukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here