Buruh didakwa bunuh pemandu teksi

0
173

SEORANG buruh didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis atas tuduhan membunuh seorang pemandu teksi.

Tertuduh Muhammad Hanif Mohd Rosli, 29, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Mohd Latif Idris.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 10 Ogos lalu dalam sebuah teksi di tepi jalan hadapan Klinik Kesihatan Seberang Takir, Kuala Terengganu antara jam 10.09 malam hingga 10.56 malam.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 27 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohd Khairuddin Idris manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Shahir Mat Jusoh.

Terdahulu media melaporkan seorang pemandu teksi ditemukan mati dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya berdekatan sebuah klinik kesihatan di Kampung Seberang Takir pada 10 Ogos lalu.

Lelaki yang berusia 51 tahun itu ditemukan di tempat duduk belakang kereta tersebut dengan beberapa kesan luka di bahagian leher lapor Astro AWANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here