Anggota polis mengaku tak salah 98 tuduhan rasuah lebih RM30,000

0
210

SEORANG anggota polis berpangkat sarjan mejar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas 98 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM31,400 pada 2021 dan 2022.

Tertuduh, Anuar Yaakob, 54, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan empat jurubahasa dalam masa lebih 40 minit di depan Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa menerima wang antara RM100 dan RM2,000 tanpa balasan daripada beberapa individu mempunyai hubungan dengan tugas rasminya yang dipindahkan menerusi dalam talian ke akaunnya.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar Kuantan ketika bertugas di Bahagian Siasatan/Perundangan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pahang dengan pangkat sarjan dan ketua Balai Polis Cherating sebagai sarjan mejar antara Januari 2021 hingga Oktober 2022.

Penjawat awam lebih 30 tahun berkhidmat itu didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM15,000 dengan syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah, selain tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon jaminan rendah buat anak guamnya kerana tertuduh berpendapatan sekitar RM3,000 sebulan dan perlu menyara keluarganya, termasuk ibu bapa berusia.

Zamzani menetapkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan membenarkan semua syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 25 Sept ini untuk serahan dokumen. -BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here