Pemilik kelab komedi Crackhouse tarik balik semakan kehakiman DBKL

0
172

PEMILIK kelab komedi kontroversi, Crackhouse menarik balik permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu terhadap tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang membatalkan lesen perniagaan dan tidak membenarkan pendaftaran perniagaan itu di ibu negara selama-lamanya.

Hakim, Amarjeet Singh memutuskan demikian selepas peguam, M Pravin memaklumkan kepada mahkamah bahawa dua anak guamnya, Mohamad Rizal Johan Van Geyzel dan Shankar R Santhiram telah menarik balik tindakan undang-undang tersebut.

Mahkamah kemudiannya membatalkan permohonan berkenaan tanpa memutuskan perintah terhadap sebarang kos.

Semasa prosiding, Pravin berkata, pemohon tidak berhasrat untuk meneruskan kes itu kerana DBKL tidak menyenarai hitam nama mereka daripada mendaftarkan perniagaan, sebaliknya hanya membatalkan lesen kelab komedi itu.

“Sehubungan itu, kami menarik balik permohonan semakan kehakiman tanpa memohon perintah terhadap kos,” katanya lapor Sinar Harian.

Sementara itu, peguam, Khalisa Badrul Amini yang mewakili DBKL, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah selaku responden, mengesahkan perkara tersebut.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan pada Rabu untuk mendengar merit permohonan itu selepas kedua-dua pemohon mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman pada 23 Mei lalu.

Pada 24 November tahun lalu, kedua-dua pemilik kelab komedi kontroversi itu memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman untuk mendapatkan perisytiharan bahawa keputusan membatalkan lesen kelab itu adalah menyalahi undang-undang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here