Perhilitan tahan enam individu, rampas pelbagai bahagian hidupan liar di Sik

0
149

JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kedah melumpuhkan satu sindiket pemburuan hidupan liar yang beroperasi di Hutan Simpan Ulu Muda dekat Sik, selepas menahan enam lelaki tempatan dan merampas pelbagai bahagian hidupan liar yang dianggarkan bernilai RM103,350 dalam operasi bermula 18 Ogos hingga semalam.

Pengarahnya Jamalul Nasir Ibrahim berkata kesemua suspek berusia 40 hingga 63 tahun ditahan secara berasingan di rumah masing-masing di Kampung Landai, Kampung Belantek, Kampung Galau dan Kampung Bukit Berangan di Sik.

Menurutnya, serbuan di kesemua rumah suspek menemukan pelbagai bahagian badan haiwan seperti kijang, pelanduk, rusa yang telah disejukbekukan bertujuan untuk dijual kepada pelanggan yang dikenali.

“Antara suspek yang ditahan mempunyai pertalian persaudaraan iaitu sepupu, ini rangkaian mereka dan mereka boleh hidup dengan menjadikan sumber pendapatan utama bagi menyara keluarga dari sumber pendapatan memburu ini.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas pelbagai jenis burung murai, tiong mas, ruak-ruak dan rusa sambar yang tergolong dalam haiwan eksotik dan bernilai tinggi,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Jamalul Nasir berkata selain itu pihakya turut merampas dua laras senapang patah termasuk satu buatan sendiri dan busur serta beberapa peralatan lain yang disyaki digunakan dalam aktiviti pemburuan haram yang dipercayai beroperasi sejak 10 tahun lepas.

Menurut beliau modus operandi sindiket ialah dengan menjual bahagian haiwan berkenaan kepada pelanggan terdiri daripada ahli atau kenalan menerusi kumpulan WhatsApp dan hanya individu tertentu sahaja yang boleh berurus niaga dalam kumpulan media sosial itu.

“Sindiket itu juga menawarkan pakej pemburuan haram di dalam hutan tersebut kepada ahli-ahlinya dengan bayaran tertentu. Mereka melakukan kerja-kerja menembak, menjerat atau memanah binatang lalu memproses dengan memotong bahagian-bahagian haiwan itu di dalam hutan sebelum dibawa pulang dan disimpan di dalam peti sejuk rumah dan apabila ada tawaran, barulah dijual,” katanya.

Katanya haiwan yang dilindungi seperti pelanduk dan kijang mendapat permintaan tinggi dan dijual antara harga RM100 hingga RM200 bagi setiap kilogram, manakala pelanduk hidup dijual RM1,000 seekor.

Katanya, semua suspek disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022 dan tiga daripada suspek turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. –Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here