‘UMNO seolah-olah terpaksa bergantung undi bukan Melayu untuk menang’ – Ismail Sabri

0
162

BEKAS naib presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kekalahan parti itu dalam PRN minggu lalu menunjukkan kebencian dan kemarahan pengundi Melayu kepada Umno “bertambah marak seperti api membakar jerami”, termasuk dalam kalangan penyokong dan ahli parti.

Justeru, beliau menyeru pucuk pimpinan parti mendengar desakan akar umbi, termasuk melepaskan jawatan bagi memulihkan Umno susulan kekalahan teruk itu.

Untuk memulihkan UMNO, katanya, ia memerlukan kepimpinan dinamik dan berkebolehan bagi mengembalikan idealisme perjuangan parti.

Pada PRN Sabtu lalu, Umno menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang, hanya satu kerusi di Kelantan, tetapi gagal menang sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

“Umno telah mencatatkan prestasi terburuk, hilang pengundi teras, dianggarkan hanya 27% pengundi Melayu yang mengundi gabungan Barisan Nasional/Pakatan Harapan. Gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan yang dikenali sebagai Perikatan Nasional berjaya menarik 73% sokongan pengundi Melayu pada PRN ini.

“Pengaruh Umno di Malay Belt atau lingkaran Melayu – Kedah, Kelantan dan Terengganu – sangat kritikal seperti pesakit di ICU. Umno hanya mampu menang satu kerusi, hilang 20 kerusi jika dibandingkan dengan PRU14.

“Lebih membimbangkan trend kemerosotan undi Melayu kepada Umno kini turut merebak ke Negeri Sembilan. Satu-satunya negeri yang tidak terjejas dengan gelombang peralihan undi Melayu dalam PRU15, kini turut menerima tempiasnya,” tulisnya dalam kolum Utusan Malaysia.

Bekas perdana menteri itu berkata, keputusan PRN enam negeri menunjukkan Umno seolah-olah terpaksa bergantung kepada undi bukan Melayu untuk menang, yang disifatkannya keadaan tidak pernah berlaku.

“Jangan membiarkan nasib Umno persis MCA dan Gerakan yang terpaksa berpapah kepada undi Melayu untuk memenangi sebarang kerusi dalam pilihan raya.”

Beliau berkata, pengundi Melayu menolak Umno kerana ia menyimpang daripada idealisme perjuangan asal.

“Lebih parah kepimpinan Umno memusnahkan Muafakat Nasional yang menjadi harapan umat Melayu terhadap penyatuan ummah. Lebih buruk apabila kepimpinan tertinggi mengheret Umno untuk bersama DAP, malah menggesa jentera bekerja dan mengundi parti itu.”

Ahli Parlimen Bera itu berkata, Umno memerlukan perubahan drastik dari segi pendekatan, menjual naratif boleh diterima rakyat dan perubahan kepimpinan untuk terus relevan dalam arus politik negara.

Katanya, Umno juga perlu mengubah cara ia berkempen, di mana jenteranya perlu mendekati pengundi atas pagar dan parti lawan, bukannya “berdakwah” kepada ahli sendiri, selain menguasai media sosial sepenuhnya.

“Sejarah telah mengajar kita. Lihat kembali bagaimana dan kenapa Umno ditubuhkan 77 tahun lalu. Semoga parti yang saya cintai ini bukan sahaja bangkit, malah kembali memimpin negara.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here