KERAJAAN perlu lebih berani dan melakukan sokongan dan penambahbaikan pembangunan ekosistem Melayu-Bumiputera.
Felo kanan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (Mtem), Ahmad Yazid Othman, berkata perkara itu tidak jelas khususnya dalam kerangka Ekonomi Madani.
“Agensi-agensi yang dahulunya bertanggungjawab memperkasakan bumiputera dari segi sosial mahupun ekonomi dilihat seperti dipinggirkan dan tidak diberi
perhatian oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan.
Berikut kenyataan penuh MTEM
MTEM menyambut baik pelancaran 7 sasaran yang menjadi naratif ekonomi kerajaan. Setelah meneliti, sekiranya kerajaan komited dan bersungguh dan menggunakan pendekatan yang melibatkan keseluruhan jentera agensi kerajaan, Malaysia pasti berubah sebelum 2030 sekaligus dapat menyelesaikan masalah-masalah yang membelenggu potensi rakyat dan negara.
Semestinya Kerajaan mesti diberi ruang dan masa untuk memperhalusi tindakan-tindakan susulan dan perlaksanaan program yang diperlukan.
Hala tuju yang meletakkan fokus pembangunan ekonomi pada 8 langkah teras yang memberi penekanan pada agenda Serantau, merancakkan pertumbuhan Syarikat Tempatan dan PMKS, agenda pendigitalan, Teknologi hijau dan keterjaminan makanan memberi indikator yang jelas pada semua pemegangtaruh ekonomi wawasan kerajaan ini.
Sambil kita memastikan negara terus ingin menjuarai sektor gas & minyak, perusahaan sawit
dan penghasilan cip eletrik, Pelancaran NIMP (Pelan Induk Perindustrian Baru) dan NETR (Dasar Tenaga Negara dan Pelan Hala Tujue Peralihan Negara) memberi gambaran bagaimana sasaran ekonomi madani ini akan dicapai melalui inisiatif berskala besar yang melibatkan semua pihak yang akan menggalakkan pelaburan dan aktiviti ekonomi yang sewajarnya.
MTEM juga menyokong hasrat kerajaan untuk memastikan PMKS tidak ketinggalan dalam
agenda membina semula negara melalui pelbagai inisiatif yang kita pasti akan ditambah nilai selari dengan kerangka ekonomi madani yang baru.
Referendum Orang Melayu pada Pilihanraya Negeri
Namun berdasarkan hasil PRN, jelas Naratif ini belum cukup meyakinkan pengundi Melayu. Suka atau tidak, beberapa perkara yang perlu diberi perhatian dan akan menggagalkan usaha murni Kerajaan sekiranya diabaikan.
Reformasi pada Agenda kemakmuran bumiputera
Kerajaan perlu lebih berani untuk melakukan dan dilihat melakukan sokongan atau penambahbaikan terhadap pembangunan ekosistem melayu bumiputra dengan segera.
Setiap Perdana Menteri semenjak YAB Tun Razak melaksanakan DEB, tidak apologetik dalam
melaksanakan program atau memberi kelebihan strategik untuk memperkasakan Bumiputra.
Kita pernah dengar, program “carve out” dalam projek kerajaan di zaman DS Najib. Malah
DNB dizaman TS Muhyiddin Yassin juga diberi syarat untuk menyokong syarikat bumiputra.
Hari ini, Perkara ini tidak jelas khususnya dalam kerangka Ekonomi Madani.
Mungkin dalam tindakan susulan perlaksanaan ekonomi Madani ia akan diterjemahkan tapi akibat polemik politik berpanjangan kita dapati agensi kerajaan , GLC dan kementerian tidak pantas membuat keputusan dan lazimnya proses perolehan makin perlahan.
Ia memberi kesan lansung pada usahawan dan kontraktor yang terjejas secara tidak lansung memberi gambaran agenda Bumiputra bukan keutamaan. Agensi-agensi yang dahulunya bertanggungjawab memperkasakan bumiputera dari segi sosial mahupun ekonomi dilihat seperti dipinggirkan dan tidak diberi
perhatian oleh kerajaan.Walaupun ada kenyataan yang memberi komitmen untuk gejala Ali dan Penghapusan rundingan terus akan dihapuskan.
Merujuk pada penghapusan rundingan terus dalam perolehan kerajaan, ia dilihat sebagai satu langkah positif dalam mengurangkan ketirisan.
Namun tiada langkah-langkah yang diumumkan untuk memberi jaminan kepada usahawan-usahawan bumiputera yang projek-projek kerajaan tidak akan didominasi oleh konglomerat-konglomerat dan syarikat-syarikat tersenarai yang secara majoriti terdiri daripada syarikat bukan bumiputera.
Apa yang diinginkan adalah Naratif Ekonomi Madani juga melaksanakan reformasi dalam agenda pemerkasaan bumiputera , dengan tatakelola yang lebih baik, dengan penyampaian lebih pantas dan berkesan. Kita ingin melihat lebih ramai syarikat berpotensi bumiputera yang tulen diberi keutamaan yang sewajarnya khususnya dalam sektor sektor yang berteknologi termasuk dalam kerangka ekonomi Madani. Kita tidak boleh mengamalkan dasar yang sedia ada, seadanya. Pemikiran yang sama tidak akan menghasilkan hasil yang berbeza.
Jika tidak persepsi bahawa Kerajaan tidak bersungguh dalam membangunkan komuniti ekonomi bumiputra sebagaimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan, akan terus meningkat kerana ia tidak dirasai oleh orang Melayu atau tidak dilihat sedang dirancang untuk orang Melayu dan bumiputera.
Apakah mungkin ada pihak dalam kerajaan yang sengaja menyukarkan agenda reformasi kemakmuran bumiputra dengan melengah atau mengendahkan harapan YAB PM atau mereka juga masih keliru dengan di mana agenda bumiputra ini dalam kerangka Madani?
Realiti Sasaran Bahagian Pendapatan Pekerja Bernisbahkan KDNK
Sasaran untuk meningkatkan bahagian pendapatan pekerja daripada 32% kepada 45% adalah dialu-alukan kerana pada dasarnya nisbah ini bertujuan untuk meningkatkan pendapatan gaji pekerja.
Namun pada hemat kami sasaran ini secara bersendirian tidak memadai dan bakal gagal
mencapai matlamat sebenar YAB untuk meningkat martabat hidup rakyat JIKA ia tidak diperhalusi. Sasaran Pendapatan Isi Rumah berasaskan Gaji Bermaruah (Living Wage) mesti dijelaskan sebagai sebahagian daripada strategi dan dasar ini.
Kejayaan sebenar akan memberi kesan lansung pada ekonomi domestik sekaligus meningkat perbelanjaan dalam negara yang menguntungkan PMKS dan bukan sebaliknya.
Jika tidak, ekonomi tidak mungkin bertumbuh secara optimal dan mampan. Laporan KDNK akan cantik di atas kertas tetapi rakyat dibawah terus tertekan kerana tidak merasai laba pertumbuhan ekonomi yang bergantung pada industri yang “labour intensive” yang tidak menjamin pertumbuhan gaji tapi hanya meramai pekerja gaji terendah.
Oleh itu wajar untuk Kerajaan dan komuniti perniagaan memahami bahawa sasaran ini perlu diperhalusi dengan sasaran-sasaran jelas yang diperhalusi seperti Jadual Sasaran kenaikan gaji penengah mengikut sektor industri; dan Jadual Sasaran bilangan isi rumah yang menerima pendapatan dibawah garis pendapatan kehidupan wajar1 (Living Wage) supaya semua pihak dapat merancang untuk menyokong agenda kerajaan dengan masa yang cukup serta PMKS mendapat sokongan yang wajar daripada kerajaan untuk melaksanakannya.
Yang nyata, Cadangan Model Upah Progresif dan Pembentangan Laporan Gaji setiap suku tahun adalah 2 indikator kesungguhan kerajaan yang mesti dipuji dan selari dengan harapan MTEM untuk memperkasakan rakyat.
Masalah Sasaran Defisit Fiskal 3%.
Kami bimbang sasaran ini bakal menjurus kepada dasar ikat perut (austerity) dan tidak merangsang ekonomi (pro-cyclical). Daripada segi keperluan membantu rakyat melalui perbelanjaan sosial (social protection) juga masih banyak perlu dilakukan. Malaysia kini antara negara yang berbelanja paling rendah dalam perbelanjaan sosial iaitu di tahap hanya 3.8% dari KDNK (2017) berbandingkan dengan Vietnam (6.3%), South Korea (10.1%) dan Jepun (23.1%).
Di samping itu , untuk melaksanakan kedua kedua tumpuan ekonomi madani ,untuk menaikkan siling dan lantai rumah,pasti memerlukan perbelanjaan yang besar daripada kerajaan. Kerajaan akan mengikat tangan sendiri dengan meletakkan ini sebagai antara sasaran utama ekonomi Madani.
- Kurang agenda penyusunan semula masyarakat
Tiada sasaran jelas untuk mengurangkan kesenjangan dan jurang kekayaan antara pelbagai kumpulan dan antara daerah seperti yang digariskan dalam WKB2030. Jika dibiarkan pada penyokong pasaran bebas yang bersifat laissez faire dan neo-liberal, yang kaya akan
bertambah kaya dan yg miskin kurang . Ini tidak selari hasrat Malaysia Madani yang ingin memastikan orang Melayu tidak ketinggalan dalam arus perdana .
- Kejayaan bergantung pada intepretasi dan implentasi semua pemegang taruh
Kunci kejayaan untuk mencapai 7 sasaran melalui 8 fokus akan bergantung kepada kaedahkaedah program-program baru atau rekalibrasi dasar-dasar lama dan yg baru selain kepantasan dan kecekapan perlaksanaan yang memerlukan koordinasi antara kementerian dan juga pemegang taruh lain terdiri drpd pemain industri , dewan perniagaan dan ngo masyakat.
Libat urus mestilah lebih bersifat terbuka dengan keinginan membara, untuk bina semula negara, tanpa menafikan isu kesenjangan antara kaum dan daerah di Malaysia. Oleh kerana kebanyakan hasilnya bukan serta merta, kestabilan kerajaan penting!
Kesimpulannya
Akhir kata, kami ingin memgucapkan tahniah kpd Kerajaan Perpaduan kerana naratif ini amat didambakan semua pemegang taruh termasuklah komuniti ekonomi bumiputra. Hala tuju ini memberi ruang semua terlibat dalam rencana pembangunan negara dibawah kerajaan perpaduan.
Secara keseluruhannya kerangka ekonomi madani dilihat disambut baik oleh komuniti perniagaan domestik dan antarabangsa dalam memberi kejelasan kepada halatuju ekonomi negara.
Namun demikian ada kemungkinan besar komuniti bumiputera terutamanya kaum Melayu masih khuathir bahawa segala dasar-dasar ini walaupun kelihatan baik secara asasnya, akan mengakibatkan peminggiran
kaum bumiputera secara sistematik. Oleh itu janganlah malu alah untuk dilihat bantu bumiputera melalui agenda bumiputera yang jelas dan mampan.
Takut yang dikejar tak dapat dikendong tercicir. Keputusan PRN sudah cukup untuk memberi tanda untuk tindakan segera yang mesti
dilakukan serta merta. Ini bukan isu politik kepartian atau ideologi parti tapi isu keadilan sosial yang selari dengan tuntutan perlembagaan dan sejarah peradaban bangsa
yang ingin diperbetulkan dengan berani dan bijaksana selari dengan aspirasi Malaysia
MADANI.
Ahmad Yazid Othman
FELO KANAN MTEM
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.