BN tidak dapat undi tentera kerana bersama PH, kata penganalisis

0
130

MESKIPUN Kementerian Pertahanan ditunjangi oleh Mohamad Hasan, seorang menteri daripada Barisan Nasional (BN), pengundi tentera masih tidak memberikan undi mereka kepada parti yang memerintah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) minggu lalu. 

Ini dapat dilihat apabila BN, yang bergabung bersama Pakatan Harapan (PH) di peringkat pusat dan negeri, tidak mampu menambat hati pengundi tentera di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan, iaitu Bagan Pinang dan Gemas. 

Penganalisis politik, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata, ia merupakan kesinambungan corak undi tentera pada PRN Melaka dan Johor yang mana tentera memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN). 

“Dalam PRN Johor, tentera masih bersama PN. Kemudian apabila BN menyertai kerajaan perpaduan, nampak tentera masih berpihak kepada PN kerana BN sudah menjadi sekutu PH.

 “Sebab itu di Negeri Sembilan, BN tidak mendapat undi tentera. Tidak semestinya menteri pertahanan daripada BN, mereka (tentera) akan beri undi kepada BN,” katanya kepada MalaysiaNow. 

 Katanya, sokongan tentera terhadap BN dilihat bercampur-campur dan tidak sepenuhnya.

Calon PN daripada PAS Abdul Fatah Zakaria menang di DUN Bagan Pinang selepas menewaskan Mohd Najib Mohd Isa daripada BN dengan majoriti 3,426. 

Di Gemas, Ridzuan Ahmad menang menentang Abd Razak Ab Said (BN) dengan majoriti 3,120. 

DUN Bagan Pinang terletak di Port Dickson yang sinonim dengan nama jolokannya sebagai Bandar Tentera Darat.

Di DUN Gemas pula terletak kem Syed Sirajuddin. 

Mohamad Hasan sendiri bertanding di DUN Rantau dan berjaya mengekalkan status timbalan presiden Umno itu sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.

PN menang lima kerusi DUN Negeri Sembilan, manakala gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan negeri.

Kedua-dua blok politik berjaya mengekalkan status quo walaupun PN berjaya membuat “in-road” di semua negeri yang dikuasai PH-BN.

Sebelum itu, PN menang di DUN Sungai Udang semasa PRN Melaka yang mempunyai pengundi tentera yang agak signifikan. 

Ia merupakan satu daripada dua kerusi DUN yang berjaya dimenangi PN di negeri bersejarah tersebut. 

Mengulas lanjut mengenai corak undi tentera, Mazlan berkata dinamik pengundian berubah sejak undi awal diperkenalkan.

“Beberapa dekad lepas, jika sebut sahaja undi pos, 100% akan pergi kepada BN.

“Tetapi selepas Bersih membuat desakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), undi awal diperkenalkan, dan tentera mengundi sambil diawasi ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA).

“Mereka mengundi seperti orang awam dan bebas membuat sokongan, tidak hanya kepada parti pemerintah,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mazlan berkata tentera menyokong PH yang ketika itu diketuai oleh bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Namun ada beberapa perkara yang membuatkan pasukan itu tidak berpuas hati dengan PH.

Katanya Pengerusi PN Muhyiddin Yassin mungkin banyak memberi perhatian kepada golongan tersebut semasa menjadi perdana menteri yang membuatkan mereka memberi sokongan kepada gabungan itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here