‘Sudah takdir anak ‘pergi’ begini, kami reda’

0
174

IBU kepada Allahyarham Muhammad Taufiq Mohd Zaki, 38, yang terkorban dalam pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, semalam reda dengan kejadian tragis itu.

“Saya reda kerana ini sudah ketentuan Allah SWT,” kata ibu kepada Allahyarham Muhammad Taufiq.

Muhammad Taufiq yang juga pegawai khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara mangsa nahas pesawat semalam.

Wanita terbabit berkata, keluarga menerima ketentuan bahawa jenazah anaknya tidak dapat dituntut hari ini kerana proses bedah siasat dan DNA dijangka mengambil masa yang panjang.

“Sudah takdir anak akan ‘pergi’ begini dan keluarga terima dengan reda.

“Apa dilakukan Dia (perancangan Allah) yang terbaik untuk kebaikannya. Anak juga pergi pada hari baik,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang, hari ini.

Katanya, buat masa ini mereka sekeluarga akan pulang ke rumah di Ampang sementara menunggu panggilan daripada pihak hospital sekiranya proses bedah siasat sudah selesai.

“Urusan pengebumian juga sudah diatur dan hanya menunggu jenazah untuk dikebumikan,” katanya, lapor Harian Metro.

Allahyarham Muhammad Taufiq meninggalkan isteri dan tiga anak berusia antara tiga hingga 10 tahun.

Semalam, isteri Allahyarham iaitu Suzana Paiman, 38, berkongsi suami berbelah bahagi untuk mengikuti penerbangan itu kerana keadaan anak yang tidak sihat.

Tinjauan media di HTAR mendapati waris keluarga beransur pulang selepas dimaklumkan jenazah kesemua mangsa tidak dapat dituntut hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here