SPR: Lapan borang pencalonan PRK Parlimen Pulai, DUN Simpang Jeram dibeli

0
156

LAPAN borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, di sini dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, Muar, telah dibeli setakat hari ini.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Johor Nor Nekman Jaimon berkata dua set daripada borang pencalonan itu adalah bagi Parlimen Pulai dan enam borang pencalonan lagi melibatkan DUN Simpang Jeram.

Beliau berkata borang pencalonan berkenaan boleh dibeli hingga hari penamaan sebelum pukul 10 pagi.

“Setakat ini, berdasarkan borang pencalonan yang dibeli hanya seorang calon sahaja yang telah membayar deposit sebanyak RM5,000 untuk DUN Simpang Jeram,” katanya pada sidang media selepas Taklimat Petugas Media bagi PRK P161 Pulai dan N13 Simpang Jeram di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Johor Naim Fahmi Ahmad Tajuddin dan Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia Mohamad Fauzi Ishak.

Nor Nekman berkata persiapan SPR bagi kedua-dua PRK itu telah mencapai 80 peratus dengan 2,674 petugas akan ditugaskan bagi Parlimen Pulai dan 674 petugas bagi DUN Simpang Jeram.

Beliau berkata mesyuarat penyelarasan SPR bersama agensi berkaitan bagi persediaan bencana di DUN Simpang Jeram telah dibuat pada 14 Ogos, manakala Parlimen Pulai dua hari lepas.

Setakat 23 Julai, seramai 166,653 individu layak mengundi bagi kerusi Parlimen Pulai dan bagi DUN Simpang Jeram pula seramai 40,379 pengundi.

SPR menetapkan tarikh penamaan calon bagi kedua-dua PRK pada 26 Ogos ini, manakala pengundian awal 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept.

PRK itu dilaksanakan berikutan kematian penyandangnya Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here