Menteri arah CAAM siasat semua pesawat Beechcraft 390

0
99

KEMENTERIAN Pengangkutan akan meminta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menjalankan siasatan terhadap semua pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang digunakan di Malaysia.

Menterinya, Loke Siew Fook, berkata pada masa ini pihaknya tidak mahu membuat sebarang keputusan terburu-buru mengenai penangguhan operasi model pesawat tersebut.

“Saya akan minta CAAM untuk buat siasatan terhadap model tersebut dan apa sahaja keputusan perlulah kita buat secara teliti selepas siasatan oleh pihak teknikal dan pihak berkuasa.

“Pada ketika ini belum ada apa-apa keputusan terburu-buru diambil, jadi pihak CAAM sudah tentu akan buat siasatan terperinci terhadap semua model yang sedang digunakan di Malaysia berkenaan dengan pesawat tersebut,” katanya selepas majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama dan Pembiayaan antara Yinson, RRJ dan Farosson.

Semalam, pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor, mengakibatkan 10 lelaki maut termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang Johari Harun.

Lapan yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu e-hailing yang lalu di tempat kejadian.

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here