Kerajaan berdepan ketidakpuasan hati orang India, kata Ahli Parlimen Klang

0
167

KERAJAAN berdepan ketidakpuasan hati komuniti India dan perlu melaksanakan pelan tindakan India untuk mendapatkan semula kepercayaan mereka, kata Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau.

“Sejak lapan bulan lalu, tidak banyak inisiatif diumumkan atau dilaksanakan untuk masyarakat India secara keseluruhan,” kata Ganabatirau yang menambah isu besar seperti pekerjaan dan pendidikan masih belum diselesaikan.

Katanya, ketidakpuasan pengundi India menyebabkan tidak ramai yang keluar mengundi dan terdapat “undi bantahan” dalam PRN pada 12 Ogos lalu.

Walaupun, secara umum orang India menyokong kerajaan perpaduan tetapi sokongan beralih di kawasan luar bandar atau separa luar bandar.

“Ketika ini di banyak kawasan, tiada pemimpin (untuk menasihati) atau saluran untuk Ahli Parlimen India membawa isu orang India terus kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Ganabatirau juga berkata kerajaan perlu berhati-hati dalam menguruskan sistem kuota apabila membabitkan pendidikan.

“Masyarakat India tahu sistem tersebut tidak boleh dihapuskan tetapi apa yang mereka mahu adalah jaminan bahawa pelajar cemerlang tidak akan dipinggirkan daripada sektor pendidikan perdana.

“Ini bukan mengenai membantu seorang atau dua pelajar yang gagal mendapatkan tempat di universiti awam. Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu memberi mesej tegas dan jaminan tertinggi bahawa kaum India dilayan secara adil apabila membabitkan isu pendidikan, keadilan sosial dan ekonomi,” katanya.

Baru-baru ini, bekas Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata terdapat perasaan “putus asa” dirasakan oleh komuniti India yang menjadi antara faktor disebalik kemerosotan sokongan kepada Pakatan Harapan.

Santiago berkata, satu analsis oleh Bridget Welsh, dilaporkan Malaysiakini, menunjukkan kemerosotan sebanyak 21%, 19%, dan 12% sokongan pengundi India kepada PH masing-masing di Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here