Polis bongkar stor simpan dadah di kondominium mewah

0
187

SINDIKET yang menjadikan kondominium mewah sebagai stor pengedaran dadah terbongkar selepas seorang lelaki ditahan di tempat letak kereta sebuah kondominium di Cheras, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam kenyataan hari ini, berkata lelaki berusia 26 tahun itu yang merupakan penjaga stor dan penghantar bekalan dadah ditahan dalam operasi bermula 1 tengah hari hingga 3.15 petang.

Susulan tangkapan itu, beliau berkata pihaknya membuat serbuan di dua kondominium mewah di Cheras dan Semenyih, Kajang yang dijadikan stor simpanan dadah dan menemukan 10 ketulan dadah jenis heroin base seberat 3.8 kilogram (kg) dan 10 ketulan dadah jenis syabu seberat 10kg dianggarkan bernilai RM655,000 dan merampas wang tunai RM10,200.

Katanya sindiket pengedaran dadah itu dikesan aktif sejak dua bulan lepas di sekitar Lembah Klang dengan menjadikan unit kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum dijual kepada pembeli.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki yang masih bujang itu tidak mempunyai pekerjaan tetap dan menjadikan kegiatan pengedaran dadah sebagai pendapatan utama dengan menerima arahan daripada seorang lelaki tempatan bertindak sebagai ketua sindiket yang masih lagi dikesan.

“Semakan mendapati suspek mempunyai masing-masing dua rekod berkaitan jenayah dan dadah, manakala hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lelaki terbabit didapati negatif dadah,” katanya.

Mohd Shuhaily berkata lelaki terbabit direman tujuh hari bermula Jumaat lalu hingga 17 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here