Perikatan Nasional kuasai undi popular dalam kalangan pengundi Melayu

0
191

UNDI popular yang diperolehi Perikatan Nasional (PN) hampir sama dengan gabungan PH-BN, kata Ketua Penyelidikn ILHAM Centre.

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, berkata secara umumnya, analisis menunjukkan PN memperoleh sebanyak 49.3 peratus undi popular pada PRN ini, manakala gabungan PH-BN pula, meraih 49.5 undi popular.

“Kita lihat PN hampir menyapu bersih kerusi DUN di Kelantan dan Kedah, selain menyapu bersih di Terengganu, dan memperoleh banyak kerusi di sebahagian Selangor utara dan Seberang Perai, Pulau Pinang. Namun dari segi undi popularnya, ia hampir sama dengan PH-BN yang menang di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya lapor Berita Harian.

Dalam PRN, semalam, PN berjaya meraih sebanyak 146 kawasan DUN daripada keseluruhan 245 kerusi dipertandingkan, PH (80 kerusi) dan BN (19 kerusi).

Di Selangor, PH-BN menang 34 kerusi, manakala PN (22 kerusi); Pulau Pinang, PH-BN meraih 29 kerusi, sementara PN (11 kerusi). Di Negeri Sembilan pula, 31 kawasan DUN menjadi milik PH-BN manakala bakinya, lima kerusi diperoleh PN. PN menyapu bersih 32 kerusi di Terengganu, manakala di Kelantan, PH-BN hanya mampu berpuas hati dengan memiliki dua kerusi, manakala baki 43 lagi berpihak kepada PN.

Sementara di Kedah, PN menang selesa di 33 kerusi, dan PH-BN pula hanya memperoleh tiga kerusi DUN di negeri itu.

Pada masa sama, Mohd Yusri berkata, di negeri Pantai Timur, PN berjaya meraih undi popular paling tinggi di Kelantan iaitu sebanyak 69.23 peratus, manakala PH-BN pula 30.54 peratus.

Beliau berkata, di Terengganu, PN berjaya mendominasi undi popular dengan 68.44 peratus, manakala PH-BN pula, 31.48 peratus.

Katanya, faktor utama pecahan undi popular ialah kerana kepadatan pengundi, yang mana kawasan seperti di Selangor dan Pulau Pinang mempunyai pengundi yang lebih padat di satu-satu kawasan DUN.

“Kepadatan pengundi itu berbeza jika dibandingkan dengan PN yang menang di Kelantan, Kedah dan Terengganu…atas dasar itu, banyak kerusi baharu dimiliki PN, namun undi popular masih lebih kurang sama atau sedikit di bawah PH-BN,” katanya.

Beliau berkata, PN mengungguli majoriti undi popular bagi segmen pengundi Melayu dan Muslim, manakala PH-BN pula meraihnya daripada pengundi segmen etnik bercampur, selain undi Melayu di kawasan bandar khususnya di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here