Tawan lima kerusi DUN, permulaan baik PN Negeri Sembilan

0
172

PERIKATAN Nasional (PN) Negeri Sembilan menyifatkan kejayaan gabungan itu menawan lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15 semalam, sebagai suatu pencapaian membanggakan.

Timbalan Pengerusi PN Negeri Sembilan, Rafiei Mustapha, berkata pihaknya sedar bukan suatu tugas mudah untuk memenangi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri pada ketika PN tidak mempunyai sebarang kerusi DUN sebelum ini.

“Kita (PN) sebenarnya memang tidak akan menjangkakan akan menawan Negeri Sembilan pada PRN ini oleh kerana realitinya PN tidak pernah mempunyai satu kerusi pun sebelum ini.

“Bagaimanapun kita telah berjaya menembusi di beberapa kawasan terutama di kubu kuat UMNO di DUN Bagan Pinang, Paroi, Serting dan Gemas.

“Kami dapat rasakan kemenangan PN di kerusi berkenaan adalah atas sokongan pengundi kalangan ahli UMNO yang mungkin menunjukkan protes kepada pucuk pimpinan parti,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Rafiei yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, berkata pihaknya kecewa terhadap peratusan keluar mengundi rendah di negeri itu yang merekodkan sekadar 62 peratus.

Beliau yakin, jika peratusan itu meningkat kepada lebih 75 peratus, PN berpotensi untuk memenangi lebih banyak kerusi terutama di DUN yang dimenangi BN dengan majoriti kecil iaitu bawah 1,000 undi.

“Saya dapati peratusan keluar mengundi sangat rendah terutama kalangan pengundi muda berbanding pada

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November lalu.

“Kami (PN) berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat melihat perkara ini untuk masa hadapan. Faktor tarikh PRN ini penting dan bagi mereka yang berada di luar kawasan dan jauh sudah tentu memerlukan kos yang tinggi,” katanya.

Rafiei berkata, pencapaian PN itu adalah suatu permulaan yang baik dalam usaha gabungan berkenaan untuk memainkan peranan proaktif di DUN dan mula bertapak di negeri ini.

Katanya, pencapaian berkenaan akan dijadikan asas untuk memastikan sokongan rakyat kepada PN terus berkembang di Negeri Sembilan.

“Selain memainkan peranan sebagai pembangkang yang proaktif di DUN bagi semak dan imbang, PN juga akan berusaha menterjemahkan segala janji dalam manifesto untuk kepentingan rakyat terutama di kerusi yang menang.

“Wakil kita di DUN tidak akan dibiarkan sebaliknya sokongan padu diberikan dalam membantu mereka melaksanakan tanggungjawab kepada pengundi dengan berkesan,” katanya lapor BH.

Pada PRN ini, Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 daripada 19 kerusi yang ditandingi dengan DAP menang 11 kerusi, PKR (5) dan AMANAH (1) manakala BN memenangi 14 daripada 17 kerusi DUN yang mereka tandingi.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), PH menang 20 kerusi manakala BN, 16 kerusi.

Rafiei yang bertanding di kerusi DUN Pilah, tewas kepada calon PH, Noorzunita Begum Mohd Ibrahim dengan majoriti 1,079 undi selepas beliau hanya memperoleh 5,143 undi berbanding lawannya, 6,222 undi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here